Mempromosikan peniaga, usahawan tempatan dalam perkhidmatan perkahwinan

7 Nov 2026 - 5:36am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, Jumaat, 6 November. - Simply Sayang Event Management petang tadi menganjurkan Brunei Wedding Festival 2026, sebuah pameran perkahwinan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 November 2026, bertempat di The Atrium, The Airport Mall, Berakas.

Penganjuran festival berkenaan bertujuan mempromosikan serta membuka peluang kepada para peniaga dan usahawan tempatan dalam industri perkahwinan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada orang ramai.

Hadir selaku tetamu kehormat yang seterusnya merasmikan festival tersebut ialah Isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

Festival berkenaan menghimpunkan pelbagai vendor tempatan yang menawarkan perkhidmatan berkaitan perkahwinan, antaranya Agendas Brunei, Nastaeen Catering, Gubahan Anggun, Wedding Loka, Elyn Wedding Atelier, Ramo Films, Serikandi Catering serta Greenmont Hotel and Apartment, di samping beberapa vendor lain.

Sepanjang berlangsungnya festival, para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tarikan menarik termasuk promosi eksklusif, pakej perkahwinan istimewa serta peluang untuk bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan para vendor tempatan.

Bagi bakal pengantin, festival ini turut menyediakan platform untuk mendapatkan maklumat, meneroka pelbagai pilihan perkhidmatan serta merancang persiapan bagi merealisasikan majlis perkahwinan impian mereka.

Selain pameran vendor, pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik turut disediakan sepanjang tiga hari penganjuran festival berkenaan bagi memeriahkan lagi suasana.

Penganjuran Brunei Wedding Festival 2026 diharap dapat memberikan inspirasi, maklumat terkini serta peluang kepada para bakal pengantin untuk mendapatkan pelbagai tawaran dan promosi istimewa daripada vendor tempatan.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Brunei Wedding Festival 2026 yang bermula pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam.