Mempertingkat ekosistem bagi menyokong pembangunan industri

6 Og 2026 - 6:33am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Selaras dengan perubahan landskap tenaga serantau dan aspirasi ke arah pertumbuhan rendah karbon, negara turut meneroka industri hiliran rendah karbon sebagai sumber pertumbuhan baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah menjelaskan, penerokaan ini adalah termasuk pelaksanaan kajian bersama rakan-rakan serantau seperti Economic Research Institute for ASEAN and East Asian (ERIA).

"Bidang ini berpotensi menarik pelaburan berkualiti, memperluas rantaian nilai industri, serta mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan berkemahiran tinggi," jelas Yang Berhormat semasa membahaskan Usul Penyelarasan Pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Bagi merealisasikan potensi tersebut tambah Yang Berhormat, kerajaan akan terus mempertingkatkan lagi kefahaman dalam membangunkan ekosistem yang menyokong pembangunan industri ini.

Yang Berhormat menambah, ekosistem tersebut merangkumi aspek teknologi, infrastruktur, pembiayaan, rantaian bekalan dan kerangka dasar dan kawal selia yang bersesuaian, termasuklah pembangunan ekonomi hijau yang disokong oleh jaminan kemampanan ataupun ‘low carbon assurance’ yang kukuh.

Dengan memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam sektor tenaga kata Yang Berhormat lagi, industri hiliran rendah karbon berpotensi menjadi sumber pertumbuhan baharu yang menyokong kepelbagaian ekonomi serta pertumbuhan jangka panjang negara.

Seiring dengan perubahan landskap industri jelas Yang Berhormat pula, kemajuan teknologi dan peralihan tenaga, pihak jabatan akan terus memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran yang selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan sektor tenaga.

Tambah Yang Berhormat, usaha ini adalah selaras dengan hala tuju yang telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Melalui platform Manpower Industry Steering Committee (MISC) - Energy Working Group jelas Yang Berhormat lagi, pihak kerajaan menyelaras perancangan strategik tenaga kerja bagi sektor tenaga bersama syarikat pengendali, syarikat kontraktor, institusi pendidikan dan agensi-agensi berkaitan.

Menurut Yang Berhormat, platform tersebut memberi tumpuan kepada perancangan keperluan tenaga kerja, pembangunan kompetensi serta penyelarasan latihan dan kurikulum mengikut keperluan industri.

"Ini termasuklah melalui Rangka Kerja Skills and Capacity for Alternative Low-Carbon Energy (SCALE) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalam bidang tenaga rendah karbon.

"Melalui inisiatif seperti Solar Internship Programme, pelajar tempatan berpeluang memperoleh pengalaman praktikal secara langsung dalam pelaksanaan projek tenaga suria berskala besar, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja bagi menyokong pembangunan sektor tenaga pada masa hadapan," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri bersama Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan serta mewujudkan persekitaran sektor tenaga yang teratur, berdaya saing dan diyakini oleh para pelabur.

Jelas Yang Berhormat, penyelarasan turut diperkukuh melalui jawatankuasa-jawatankuasa pandu rentas sektor bagi memastikan kesalinghubungan strategik antara aspek dasar, kawal selia dan pelaksanaan.

Tambah Yang Berhormat lagi, keberkesanan dan keselarasan kerjasama rentas agensi ini akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa, apabila diperlukan.

"InsyaaAllah, jabatan akan terus melaksanakan amanah dalam memperkukuh keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga, mendukung pertumbuhan ekonomi, membangunkan modal insan serta memastikan pembangunan sektor tenaga terus memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Saya dengan penuh sukacita menyokong Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 ini. Penyelarasan yang kukuh, bersepadu dan berpandukan keutamaan negara merupakan kunci kepada pelaksanaan dasar dan strategi kerajaan yang lebih berkesan demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat," ujar Yang Berhormat lagi.