Memperkukuh kesiapsiagaan, daya tahan bencana negara

18 Sep 2026 - 7:40am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, Khamis, 17 September. - Majlis Penutup Latihan Bencana Kebangsaan Siri Kedua bagi Tahun 2026 (LBK 02/2026) telah diadakan petang tadi di  Bridex Hall, Jerudong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan majlis penutup berkenaan ialah  Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

Majlis penutup berkenaan menandakan kejayaan bagi latihan pasca-simulasi kebangsaan, yang direka khusus untuk menilai kecekapan koordinasi rentas agensi di bawah payung pengurusan bencana.

Latihan pada kali ini telah berjaya bertindak sebagai sebuah platform yang telus dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan operasi, memperjelas rantaian arahan, serta menguji kerangka pengurusan bencana yang menyeluruh dan bersepadu.

Di samping itu, latihan ini juga turut mencerminkan pendekatan secara komprehensif selaras dengan Rangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana (Disaster Management Strategic Policy Framework - DMSPF), seterusnya menterjemahkan komitmen kerajaan dalam membangun ekosistem kedaya tahanan kebangsaan yang kukuh dan dinamik.

Latihan berskala makro ini menghimpunkan seramai 197 peserta daripada 39 agensi yang merangkumi agensi-agensi kerajaan termasuk agensi-agensi keselamatan, sektor swasta serta badan-badan bukan kerajaan.

Kehadiran inklusif daripada pelbagai kluster ini turut mencerminkan keberkesanan mobilisasi kebangsaan yang memperkemas sinergi operasional dan taktikal merentas semua lapisan rantaian tindak balas bencana.

Pengintegrasian rentas sektoral ini seterusnya turut menegaskan pendekatan Whole-of-Nation sebagai tonggak utama yang memperkukuh sistem pertahanan dan pengurusan bencana yang lestari dan berdaya tahan.

Dalam ucapan penutupnya, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat)  merakamkan penghargaan yang tinggi atas kejayaan perlaksanaan Latihan Bencana Kebangsaan (LBK) pada tahun ini.

Beliau menyifatkannya sebagai landasan penandaarasan strategik dalam memantapkan rangka kerja kedaya tahanan nasional.

Awang Abdul Walid turut menegaskan bahawa landskap ancaman bencana kontemporari kini beralih kepada ancaman bencana yang semakin kompleks, realiti dinamik ini secara tidak langsung menuntut transformasi keupayaan tindak balas yang holistik.

Menurutnya, pengurusan bencana masa kini wajib berteraskan logik yang berpandukan data (data-driven logic), disokong oleh tahap keserasian (interoperability) yang tinggi, serta beroperasi di bawah keselarasan rantaian arahan dan kawalan (chain of command) yang utuh di semua peringkat kementerian dan agensi.

Pendekatan proaktif ini, tambahnya, amat penting bagi memastikan seluruh instrumen pengurusan bencana negara sentiasa bersiap sedia dan berdaya tahan dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan keselamatan infrastruktur kritikal negara.

LBK bagi tahun ini telah dilaksanakan secara komprehensif menerusi dua siri latihan.

Siri Pertama telah berlangsung pada 23 hingga 25 Jun 2026, manakala Siri Kedua diadakan pada 15 hingga 17 September 2026.

Kitaran latihan bersepadu ini menjadikan agenda semakan dan pengesahan Prosedur Operasi Standard Kebangsaan (NASOP) sebagai teras pengujian utama.

Secara khususnya, fasa LBK 02/2026 pada kali ini memberikan penumpuan dinamik terhadap pelaksanaan operasi serta tahap keserasian (interoperability) rentas agensi, berpandukan struktur DMSPF dan Pelan Tindak Balas Bencana Inventori Peringkat Kebangsaan (National Inventory Disaster Response Plan - NIDRP). 

Sebagai sebuah landasan latihan berskala makro, siri latihan tahun ini berjaya menguji kecekapan koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi unjuran senario ancaman pelbagai bahaya (multi-hazard scenario).

Simulasi yang diuji merangkumi impak bencana secara mengejut seperti gegaran seismik, banjir berskala besar, katastrofi kegagalan infrastruktur kritikal, serta kesan rantaian (cascading effects) yang melibatkan gangguan bekalan air, pelumpuhan rangkaian telekomunikasi (data congestion) dan gangguan rantaian bekalan tenaga negara.

Di samping itu, pengisian LBK 02/2026 turut diperlukan bagi menguji keupayaan negara dalam mengendalikan mekanisme fasilitasi dan koordinasi bantuan antarabangsa.

Ini merangkumi pengaktifan protokol penerimaan serta pengurusan Pasukan Bantuan Bencana Asing, yang diselaraskan secara strategik mengikut standard kerangka serantau ASEAN bagi tindak balas bencana berskala makro.

Selain daripada itu, latihan simulasi ini turut bertindak sebagai platform penilaian telus terhadap pengoperasian taktikal Pusat Kawalan Operasi (Emergency Operations Centre - EOC) dan Pusat Pemindahan Sementara Evakuasi (PPSe) di lapangan. 

Bagi menghadapi unjuran senario ekstrem, kecekapan agensi diuji secara menyeluruh melalui komponen Pengurusan Insiden Mangsa yang Ramai (Mass Casualty Management) serta pengaktifan Prosedur Tetap Operasi Pengecaman Identiti Mangsa Bencana (Disaster Victim Identification - DVI).

Keseluruhan rantaian latihan ini disasarkan untuk memperkukuh keteguhan pengurusan logistik dan agihan sumber, bagi menjamin kelangsungan operasi tindak balas bencana yang lancar, bersepadu, dan berdaya tahan di semua peringkat rantaian kawalan negara.

Menerusi penilaian terperinci terhadap elemen-elemen kritikal ini, LBK 02/2026 ini telah berjaya membuktikan keutuhan rantaian perintah dan kawalan di peringkat operasional dan taktikal.

Inisiatif ini secara langsung memperkemas mekanisme komunikasi serta koordinasi inter-agensi, seterusnya meletakkan keupayaan tindak balas nasional pada tahap optimum dalam menghadapi risiko bencana kompleks berskala besar.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan LBK 2026 telah menzahirkan hasrat dan komitmen yang berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam merangka dan memperkasakan ekosistem pengurusan bencana yang selamat, berdaya tahan, serta berasaskan data secara berperingkat (phased and sustainable approach). 

Berteraskan pendekatan Whole-of-Nation, pemantapan sinergi strategik antara sektor awam, swasta, dan rakan strategik serantau berupaya memaksimumkan keslapsiagaan nasional, seterusnya menjamin keselamatan, kesejahteraan rakyat, serta keutuhan daya tahan negara dalam menghadapi risiko ancaman bencana yang semakin kompleks.