Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
TUNGKU LINK, Khamis, 30 Julai. - Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang diraikan pada setiap 1 Ogos merupakan wadah penting bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para belia atas sumbangan, khidmat bakti serta impak positif mereka terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
Sambutan berkenaan juga menjadi platform untuk membarigakan kejayaan dan pencapaian belia di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sekali gus mengangkat peranan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Bersempena dengan sambutan berkenaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang merangkumi Solat Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Solat Hajat, bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil serta Doa Kesyukuran, bertempat di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib Berjemaah dan Solat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid UBD, Pengiran Muhd. Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh mahasiswa UBD, Awangku Muhammad Fauzan Al-Hadey bin Pengiran Damit.
Bacaan berkenaan dikhususkan bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim; serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang telah kembali ke rahmatullah.
Seterusnya, Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 serta Doa Peliharakan Sultan dan NBD yang dibacakan oleh Imam Masjid UBD.
Majlis diakhiri dengan Solat Fardu Isyak Berjemaah.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Naib Canselor UBD, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan.
Majlis turut disertai oleh ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia dan sukan, pasukan-pasukan belia beruniform, penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah, belia-belia masjid, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid UBD serta masyarakat umum.
Penganjuran majlis berkenaan menjadi wadah bagi seluruh warga belia untuk menzahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati di NBD, di samping mendoakan agar golongan belia terus dikurniakan kekuatan iman, keluhuran akhlak, ilmu pengetahuan dan semangat pengabdian kepada agama, raja, bangsa dan negara.
Pada hari yang sama, turut diadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja yang diketuai oleh Setiausaha Tetap, KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis berkenaan dihadiri oleh ahli-ahli persatuan belia dan sukan, pasukan-pasukan beruniform, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para belia.
Sambutan berkenaan juga dihasratkan dapat menyuntik semangat para belia agar terus berani melangkah, memperkasa potensi diri dan tampil sebagai generasi pelapis yang berdaya tahan, berwibawa serta bersedia memikul amanah kepimpinan.
Dengan dukungan berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, para belia diseru untuk bersama-sama menyumbang idea, tenaga dan kepakaran dalam menjayakan pembangunan negara serta merealisasikan Wawasan Brunei 2035.