Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Khamis, 30 Julai. - Landskap kerjasama antarabangsa kini semakin kompleks berikutan perkembangan geopolitik dunia, sementara kemajuan teknologi kewangan berkembang dengan begitu pesat sehingga melebihi keupayaan rangka kerja kawal selia untuk menyesuaikan diri.
Jenayah kewangan rentas sempadan juga semakin berkembang dengan pelbagai modus operandi baharu. Bagi negara yang berfungsi sebagai ekonomi transit seperti Negara Brunei Darussalam (NBD), kegiatan pengubahan wang haram berasaskan perdagangan serta penipuan yang didorong oleh teknologi siber merupakan antara ancaman utama yang memerlukan pemantauan dan kewaspadaan berterusan.
Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara tersebut semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Asia / Pacific Group on Money Laundering (APG) dan Technical Assistance Forum 2026 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II turut menarik perhatian bahawa rangkaian penipuan di rantau Asia Pasifik telah menyumbang kepada peningkatan sebanyak 47 peratus dalam notis dan penyebaran maklumat berkaitan penipuan oleh INTERPOL antara tahun 2024 hingga 2025. Penipuan pelaburan, penyamaran identiti serta penipuan melalui e-mel perniagaan terus mengeksploitasi saluran digital dan jurang kawal selia antara negara.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan bahawa APG perlu terus memberi tumpuan kepada keberkesanan pelaksanaan, bukan sekadar pematuhan terhadap piawaian di atas kertas.
"Selaras dengan perkembangan di peringkat global, termasuk tumpuan terkini Financial Action Task Force (FATF) dalam membanteras rangkaian penipuan berasaskan siber serta mengurangkan risiko yang berkaitan dengan aset maya, tindak balas negara-negara di rantau ini juga perlu lebih dinamik.
"APG perlu terus memainkan peranan strategiknya, meningkatkan pematuhan negara-negara anggota terhadap piawaian FATF melalui pelaksanaan penilaian bersama (Mutual Evaluation), kajian tipologi serta forum bantuan teknikal," ujar Yang Berhormat.
Dalam pada itu, Yang Berhormat memaklumkan bahawa NBD kini giat memperkukuh ekosistem domestik bagi menghadapi pusingan penilaian bersama yang akan datang.
Di bawah penyelarasan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Membanteras Pembersihan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan, jelas Yang Berhormat, beberapa bidang keutamaan telah dikenal pasti, antaranya memperkukuh penyeliaan pencegahan pembersihan wang haram dan pembanterasan pembiayaan pengganasan (AML/CFT) dalam sektor kewangan dan sektor berkaitan, menguatkuasakan keperluan pendedahan pemilikan benefisial secara lebih menyeluruh serta mempertingkatkan rangka kerja negara dalam membanteras pembiayaan percambahan senjata pemusnah secara besar-besaran.
Menurut Yang Berhormat, segala usaha tersebut adalah kesinambungan kepada pencapaian NBD dalam Penilaian Bersama 2023 serta peningkatan penarafan yang dicatatkan menerusi Laporan Susulan 2024, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh integriti sistem kewangan dan memerangi jenayah kewangan mengikut piawaian antarabangsa.
Terdahulu dalam ucapan, Yang Berhormat menyatakan bahawa penganjuran APG 2026 merupakan satu detik bersejarah kerana buat julung kalinya NBD menjadi tuan rumah kepada mesyuarat tahunan berkenaan.
Menurut Yang Berhormat, penyertaan rangkaian luas negara dan organisasi dalam mesyuarat tersebut menjadikannya sebagai perhimpunan badan serantau berasaskan FATF yang terbesar di dunia.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi kecil dan terbuka, tambah Yang Berhormat, NBD komited untuk terus mendukung piawaian antarabangsa dalam memastikan sistem kewangan negara kekal selamat, kukuh dan telus. Perkara tersebut, jelas Yang Berhormat merupakan asas penting bagi menjamin kelancaran aliran perdagangan dan pelaburan merentas sempadan.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa sejak penubuhannya 29 tahun lalu, APG telah memainkan peranan penting sebagai pemacu kerjasama serantau dalam memperkukuh keselamatan kewangan.
Melalui pelaksanaan FATF 40 Recommendations ujar Yang Berhormat, APG telah membantu negara-negara anggota membangunkan rangka perundangan yang mantap bagi mengesan, mencegah dan membanteras jenayah kewangan, di samping memastikan kepentingan rantau Asia Pasifik terus diberi perhatian di peringkat global.