Ekonomi waktu malam pemangkin perusahaan, ekonomi tempatan

7 Og 2026 - 10:02am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Persoalan mengenai pendekatan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dalam membangunkan ekonomi waktu malam sebagai salah satu sumber pertumbuhan baharu kepada perusahaan tempatan, tanpa menjejaskan masyarakat serta nilai-nilai yang diamalkan di Negara Brunei Darussalam (NBD) turut ditimbulkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menjawab bahawa dalam konteks pelancongan, pembangunan ekonomi waktu malam adalah salah satu pendekatan untuk memanjangkan tempoh penginapan dan perbelanjaan pelancong, di samping meningkatkan pengalaman pelawat melalui aktiviti yang bersesuaian dengan aktiviti utama pelancongan NBD.

Menurut Yang Berhormat, pelaksanaannya mengambil kira aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan komuniti. Antaranya adalah memperkukuhkan tarikan sedia ada seperti Gadong Night Market, di samping menggalakkan peniaga untuk mengguna pakai pilihan pembayaran digital bagi memudahkan transaksi pengunjung, terutamanya pelancong dari luar negara.

Selain itu, kata Yang Berhormat, menyokong pengusaha melalui penyediaan tapak operasi yang bersesuaian, di samping membolehkan pembangunan pengalaman pelancongan yang bernilai tambah. Contohnya, Sunset Cruise Dinner yang ditawarkan oleh pengendali Brunei River Cruise di Kampung Dato Gandi, Mukim Kota Batu.

Jabatan Kemajuan Pelancongan, jelas Yang Berhormat, turut menyokong pembangunan produk ini melalui perancangan pembangunan kemudahan jeti di Sungai Brunei, yang akan membolehkan persinggahan di beberapa kampung serta mewujudkan manfaat limpahan ekonomi (economic spinoff) kepada komuniti dan perusahaan tempatan di sekitar kawasan tersebut.

Tambah Yang Berhormat, membangunkan pengalaman ekopelancongan pada waktu malam, seperti Aktiviti Pencerapan Bintang (Stargazing) di Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak, Jalan Labi, Daerah Belait, yang terkenal dengan tahap pencemaran cahaya yang rendah, seterusnya berpotensi menjadi lokasi bagi pengalaman pencerapan bintang berasaskan alam semula jadi.

Selain Luagan Lalak, Aktiviti Stargazing juga kini telah diadakan ke beberapa lokasi seperti Kampung Merangking, Kampung Batang Duri dan Kampung Bukit Udal. 

KEPI melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan bekerjasama dengan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) bagi memperkukuhkan pembangunan produk ini agar ia bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan yang unik, malah berkembang sebagai produk pelancongan yang mampan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Terdapat juga pelayaran sungai (river cruise) pada waktu malam untuk pengalaman menyaksikan kelip-kelip (firefly experience) di kawasan Sungai Damuan, termasuk pemerhatian hidupan nokturnal menyusuri hutan paya bakau pada waktu malam, terang Yang Berhormat.

“Usaha memperkukuhkan penawaran produk turut melibatkan pembangunan pakej pengalaman yang bernilai tambah bagi meningkatkan daya tarikan dan penerimaan pelawat seperti penggunaan bot ‘pontoon’ untuk pengalaman yang lebih selesa dan eksklusif,” tambah Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menerangkan, meningkatkan promosi tawaran produk denai malam (nocturnal trail) yang baru diperkenalkan oleh Komuniti Rumah Panjang Mendaram, Mukim Labi, Daerah Belait dan Alai Gayoh Anak Pulau (HAGAP), Kampung Bukit Udal, Daerah Tutong.

Produk ini memberi peluang kepada pengunjung, termasuk penyelidik dan pelajar, untuk meneroka biodiversiti hutan pada waktu malam sambil mempelajari kepentingan pemuliharaan ekosistem.

“Inisiatif ini dibangunkan hasil daripada latihan Program Enhancing Value Through Nature Tourism : Designing Sustainable Tourism Products yang dilaksanakan pada Julai 2025 oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah, yang bertujuan memperkasa pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi yang ditawarkan oleh Penyedia Perkhidmatan Pelancongan.

“Jabatan Kemajuan Pelancongan turut menyediakan program pembangunan kapasiti kepada penyedia perkhidmatan pelancongan dan komuniti, termasuk latihan bagi meningkatkan kualiti pengalaman pelancong, pembangunan produk serta bengkel penyediaan bahan promosi seperti poster tawaran pakej bagi membantu memperkukuhkan dan meningkatkan keterlihatan produk yang ditawarkan dengan lebih berkesan,” ujar Yang Berhormat lagi.

Selain itu tambah Yang Berhormat, produk-produk ini terus dipromosikan melalui platform Explore Brunei dan Nakhoda, bagi memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa mendapatkan maklumat serta membuat tempahan.

“InsyaaAllah KEPI akan terus bekerjasama dengan komuniti dan penyedia perkhidmatan pelancongan bagi memperluaskan penawaran aktiviti ekonomi waktu malam yang berkualiti, mesra keluarga, mampan serta mampu menjana peluang pendapatan kepada perusahaan tempatan tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat dan nilai-nilai yang kita amalkan di NBD,” kata Yang Berhormat.