Buratak Nasi juara Pertandingan Cerita Berkumpulan 2026

18 Sep 2026 - 7:37am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, 17 September, Khamis. - Kumpulan Buratak Nasi dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha muncul juara Pertandingan Cerita Berkumpulan 2026 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan.

Kumpulan berkenaan memenangi pertandingan menerusi persembahan bertajuk 'Buku oh Buku' yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Tempat kedua diraih Kumpulan Safezone Bn dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerusi persembahan 'Generasi Tanpa Buli', manakala Kumpulan Kulimpapat dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam menduduki tempat ketiga dengan persembahan 'Gerbang Masa Depan'.

Johan menerima hadiah wang tunai BND600, diikuti naib johan sebanyak BND500 dan tempat ketiga BND400.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid selalu tetamu kehormat.

Pertandingan pada tahun ini mengetengahkan tema 'Baca Hari Ini, Cipta Dunia Esok' dan disertai lima kumpulan terdiri daripada sekolah menengah, sekolah Arab serta institusi kerajaan.

Pertandingan yang diadakan setiap dua tahun berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kebijaksanaan, mengembangkan minda dan memperluas pengetahuan peserta melalui bahan bacaan, pendengaran dan penglihatan yang seterusnya diterjemahkan menerusi persembahan serta lakonan mengikut kreativiti masing-masing.

Di samping itu, pertandingan tersebut menyediakan arena latihan serta memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan belia dan remaja agar mereka dapat membentuk diri sebagai warga Brunei yang berwibawa, kreatif dan inovatif.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Bahagian Perpustakaan DBP, Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny, selaku pengerusi majlis.

Majlis juga diserikan dengan tayangan video 'Deklamasi Cerita Bayangan' oleh Zahra Saleha, Sadiah,  Dutabahasa.bn dan Syed Harith bin Syed Rozman.

Majlis diteruskan dengan ulasan daripada ketua panel hakim, Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup, ahli Kumpulan PUTRA Seni.

Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP serta ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan KKBS.