Berkenan merasmikan Pesta Konvo UBD 2026

31 Jul 2026 - 9:53am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin

TUNGKU LINK, Khamis, 30 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pro-Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) berkenan berangkat bagi merasmikan Pesta Konvo UBD 2026 menandakan bermulanya sambutan sempena Majlis Konvokesyen UBD Ke-38, pagi tadi.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di Inspiring Hub UBD, di sini, dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Timbalan Pengerusi Majlis UBD dan Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal serta Naib Canselor UBD, Dr. Hazri Haji Kifle.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Seri Setia Awang  Haji Salim  bin Haji  Besar.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya berkenan mengisytiharkan pembukaan rasmi Pesta Konvo tahun ini. Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan merasmikan Pameran Khas yang menampilkan dua inisiatif terkini UBD iaitu Nexus for Architecture, Data and Intelligence (NADI) dan UBD Campus Greening Roadmap 2025 - 2030.

Dengan membawakan tema ‘Ideas to Impact’, Pesta Konvo 2026 menampilkan pameran khas yang mempamerkan usaha UBD dalam memajukan transformasi digital, inovasi dan keusahawanan ke arah masyarakat yang bersedia menghadapi masa depan.

DYTM kemudian dipersembahkan dengan persembahan khas bertajuk ‘Harmony Beyond Horizons : Tradition Meets Innovation’, oleh gabungan ahli Varsity Gulintangan Orchestra Club, UBD Phonemic Club dan UBD Choir Club terdiri daripada 39 pelajar, termasuk beberapa bakal graduan tahun ini.

Persembahan orkestra dan koir tersebut mencerminkan semangat transformasi digital dan inovasi ke arah masyarakat yang bersedia menghadapi masa depan, sekali gus membuktikan bahawa kemajuan lebih bermakna apabila berasaskan kekuatan warisan budaya serta mewujudkan keharmonian antara tradisi dan kemodenan.

Medley orkestra yang diatur khas menampilkan tiga lagu klasik Nusantara yang terkenal dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia iaitu ‘Adai-Adai’, ‘Gurindam Jiwa’ dan ‘Pamer Bojo’. Bunyi unik Gulintangan dipadukan dengan instrumen orkestra moden, manakala koir menambah penghayatan kepada persembahan muzik yang menghubungkan generasi, budaya dan idea.

DYTM kemudiannya berkenan melawat kafeteria yang telah dinaik taraf dikenali sebagai ‘Joompa’ serta berkenan menandatangani plak peringatan.

Nama ‘Joompa’ diambil daripada perkataan Melayu ‘Jumpa’ (meet), yang melambangkan ruang sosial untuk pelajar berhubung, berkumpul dan mencipta kenangan sepanjang kehidupan kampus.

Ruang yang berorientasikan pelajar ini direka bagi mewujudkan suasana yang selesa, mesra dan inklusif, dikelilingi persekitaran semula jadi dengan pencahayaan serta pemandangan terbuka. Selain menjadi tempat menikmati makanan dan minuman, ia turut menyediakan ruang untuk belajar dan mengadakan persembahan.

Seterusnya, DYTM berkenan mengadakan lawatan ke Centre for University Life and Wellness (UniHEALTH).

Pada lawatan tersebut, Pengarah UniHEALTH, Dr. Deeni Rudita Idris menyampaikan taklimat mengenai fungsi pusat tersebut serta perkhidmatan yang disediakan kepada warga kampus.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Healthy University UBD, pusat ini menyokong kesejahteraan menyeluruh melalui inisiatif kesihatan mental, penjagaan pencegahan dan kesejahteraan fizikal.

DYTM kemudian meneruskan lawatan ke UBD Central yang telah dinaik taraf, berfungsi sebagai pusat sehenti bagi komuniti UBD, menyediakan pelbagai perkhidmatan pentadbiran dan sokongan kepada pelajar, termasuk urusan kemasukan prasiswazah dan pascasiswazah, biasiswa, pendaftaran dan peperiksaan, pentadbiran Discovery Year serta perkhidmatan berkaitan visa untuk pelajar antarabangsa. Perkhidmatan visa turut disediakan kepada kakitangan antarabangsa.

Taklimat mengenai pusat berkenaan disampaikan oleh Pegawai Eksekutif (Unit Discovery Year), Dayangku Hajah Amey Marlina binti Pengiran Haji Metassan.

DYTM kemudian dijunjung bagi sesi bergambar ramai dan seterusnya berkenaan menerima pesambah yang direka dan dihasilkan oleh Dayang Nurul Amalina binti Mohd. Aslam daripada Program Design and Creative Industry (DCI), Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS).

Reka bentuk bertajuk ‘Titisan Bestari’ itu mendapat inspirasi daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6 : Air Bersih dan Sanitasi. Menggabungkan elemen kelestarian, pendidikan dan warisan budaya Negara Brunei Darussalam, pesambah tersebut membawa mesej mengenai kepentingan memelihara sumber air demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan mampan negara. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM dijunjung bagi Majlis Santap.

Pesta Konvo diadakan setiap tahun sebagai acara menjelang Majlis Konvokesyen bagi meraikan kejayaan graduan UBD serta mempamerkan idea dan hasil ciptaan pelajar semasa dan bakal graduan.

Sebagai persediaan menjelang Majlis Konvokesyen, Majlis Doa Kesyukuran dan Khatam Al-Quran akan diadakan pada 3 Ogos bagi mendoakan keberkatan serta kejayaan para graduan dalam usaha mereka pada masa hadapan.

Majlis Konvokesyen Ke-38 dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos di Dewan Canselor, UBD. Acara lain yang diadakan bersempena Majlis Konvokesyen termasuk The Next Day yang bermula pada 12 Ogos serta Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku UBD pada 13 Ogos.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai acara-acara sempena Majlis Konvokesyen UBD Ke-38, layari ‘ubd.edu.bn’ atau ikuti ‘@ubd_brunei’ di Instagram.