Pembinaan gelanggang ‘bocce’, perkasa pembangunan sukan

24 Nov 2026 - 12:36am

Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Ihsan Kelab Lions Bandar Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 November. - Dalam usaha mendukung budaya inklusiviti serta memperkasa pembangunan sukan dalam kalangan individu berkeperluan khas, Kelab Lions Bandar Seri Begawan (BSB) telah menaja sepenuhnya pembinaan sebuah gelanggang ‘bocce’ baharu khusus untuk kegunaan Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD).

Sumbangan berkenaan diserahkan dalam Majlis Penyerahan Plak dan Pembukaan Secara Rasmi (Soft Opening) gelanggang tersebut yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat SOBD.

Projek pembinaan gelanggang berkenaan diketuai oleh Ketua Projek Immediate Past President (IPP) Kelab Lions BSB, Lion Sunil Ramchandani.

Ketibaan delegasi Kelab Lions BSB dialu-alukan oleh Pengerusi SOBD, Dayang Wati Bujang, yang juga merupakan Konsultan Pertuturan dan Bahasa serta Pakar Autisme Bertauliah bersama Ahli-ahli Lembaga SOBD, ibu bapa dan para atlet Special Olympics.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Gabenor Lions Clubs International Daerah 308-A2, Dato’ Jimmy Tie Hien Hwa selaku tetamu kehormat, yang hadir bersama isteri, Datin PDG Betty Wong.

Turut hadir ialah Presiden Kelab Lions BSB, Lion Rasel Miah; Naib Presiden, Lion Aysha Siddika; Setiausaha, Lion Gurdarshan Singh Cheema; Bendahari, Lion Sushell Kaur Chopra; Mantan Presiden, Lion Maya Ramchandani; SCP Lion Dalynda Kaur serta wakil-wakil daripada Kelab Lions Limbang dan Kelab Lions Belait.

Selain pembinaan gelanggang ‘bocce’, Kelab Lions BSB turut menaja beberapa kerja penambahbaikan kemudahan dan penyelenggaraan di Bangunan Ibu Pejabat SOBD.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kerja-kerja pemotongan rumput di kawasan perkarangan bangunan, penyediaan bangku tempat duduk, peningkatan sistem pencahayaan, pemasangan langsir baharu serta kerja-kerja penyelenggaraan am bangunan.

Usaha berkenaan bertujuan memastikan persekitaran di ibu pejabat tersebut sentiasa berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif bagi menyokong aktiviti serta keperluan para atlet.

Sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kelab Lions BSB dan Lions Clubs International Daerah 308-A2 dalam melaksanakan khidmat kemasyarakatan, di samping memperkukuh jalinan kerjasama bersama SOBD.

Inisiatif berkenaan juga diharap dapat menyediakan peluang yang lebih luas kepada atlet yang mempunyai ketidakupayaan intelektual untuk mengembangkan potensi diri, khususnya dalam bidang sukan, sekali gus memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.