Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
MOSCOW, PERSEKUTUAN RUSIA, Rabu, 25 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin menghadiri Sidang Akhbar Bersama yang berlangsung di Moscow, Persekutuan Rusia.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Dalam Sidang Akhbar Bersama berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam antara lain menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Rusia atas sambutan yang mesra dan memberikan penghormatan yang tinggi kerana dapat berangkat mengadakan Keberangkatan Negara Kali Kedua ke Persekutuan Rusia, bertepatan dengan sambutan 35 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.
Baginda mengimbas kembali mengalu-alukan Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk menghadiri APEC pada tahun 2000, Keberangkatan Negara pertama baginda ke Moscow pada tahun 2005 dan mesyuarat baru-baru ini di Kazan dan Shenzhen.
Baginda bertitah bahawa mesyuarat-mesyuarat tersebut telah mengeratkan persahabatan antara NBD dan Rusia.
Baginda juga menggalakkan hubungan berterusan antara pegawai kedua-dua buah negara dan juga peluang-peluang kerjasama mendalam di bidang pendidikan, tenaga dan perdagangan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menzahirkan penghargaan atas kerjasama Persekutuan Rusia dengan NBD di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan forum antarabangsa lain dan atas komitmen bersama terhadap dialog yang membina.
Baginda bertitah bahawa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia di Kazan, yang menandakan hubungan selama 35 tahun tersebut menawarkan peluang untuk memajukan perkongsian tersebut dan baginda mengalu-alukan penglibatan berterusan Rusia dengan ASEAN dan sokongan bagi ASEAN Centrality.
Kebawah DYMM bertitah bahawa NBD menghargai persahabatan dan kepercayaan yang dibina selama 35 tahun dan asas yang kukuh ini dapat menjadi manfaat yang praktikal untuk rakyat kedua-dua buah negara.
Mesyuarat dan perundingan yang kerap mengenai pertahanan dan keselamatan dapat mengukuhkan lagi persefahaman dan kepercayaan bersama.
Baginda juga mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat melalui Dialog ASEAN-Rusia mengenai keselamatan ICT, terutamanya dalam pembinaan kapasiti dan menggalakkan komuniti perniagaan untuk meneroka peluang dalam ekonomi digital, Kecerdasan Buatan dan tenaga boleh diperbaharui.
Baginda bertitah menekankan kepentingan membangunkan kemahiran untuk pertumbuhan masa depan, mengalu-alukan tawaran Biasiswa Persekutuan Rusia dan menyokong hubungan yang lebih erat antara institusi pendidikan.
Baginda bertitah bahawa pelancongan sebagai salah satu cara mendekatkan rakyat dan seterusnya mengalu-alukan lebih ramai pengunjung Rusia menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 dan menggalakkan kerjasama antara industri pelancongan kedua-dua negara. Bidang-bidang ini, di samping kerjasama praktikal selepas Sidang Kemuncak Kazan dan penglibatan ekonomi serantau yang diketengahkan pada Mesyuarat APEC di Shenzhen, boleh membantu mengeratkan hubungan ke arah Perkongsian Strategik.
Pada mengakhiri titah, baginda menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan Rusia atas layanan dan peluang untuk bertukar pandangan dan menaruh harapan agar penglibatan berterusan dalam mengukuhkan persahabatan negara-negara dan seterusnya mengundang TYT Vladimir Putin untuk mengadakan Lawatan Negara yang pertamanya ke NBD pada masa yang sesuai.