Kontinjen karate NBD raih emas, perak, gangsa

26 Nov 2026 - 6:43am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia BIMP-EAGA

SABAH, Rabu, 25 November. - Kontinjen karate Negara Brunei Darussalam (NBD) mencatat pencapaian membanggakan dalam Acara Kata pada Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 yang berlangsung di Hongkod Koisaan (KDCA) Hall, Penampang, Sabah, setelah berjaya mengutip dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Pingat emas pertama NBD disumbangkan oleh atlet karate, Mohammad Rasydan Syarifullah dalam Acara Individu Kata Lelaki.

Beliau mempamerkan persembahan mantap dengan mengalahkan wakil Malaysia A - Sabah A, Roman Alyson Thomas dengan keputusan 5 - 0 pada perlawanan akhir.

Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, Mohammad Rasydan telah menewaskan Muhammad Adil bin Mohd. Badruddin dari Malaysia C - F.T Labuan dengan keputusan 5 - 0 pada peringkat Separuh Akhir A.

Pasukan NBD terus mempamerkan kecemerlangan apabila menewaskan Malaysia A - Sabah A dengan keputusan 5 - 0 pada perlawanan akhir Acara Kata Berpasukan Lelaki sekali gus menggandakan koleksi pingat emas kontinjen negara dalam karate.Bagi Acara Individu Kata Wanita, atlet NBD, Nur Alya Adriana Md. Zyrulzainey berjaya menyumbang pingat gangsa selepas memperoleh kemenangan 5 - 0 ke atas Martina Anne Jipaun dari Malaysia C - F.T Labuan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Bagaimanapun, cabaran Nur Alya terhenti pada peringkat awal (preliminary) apabila tewas 2 - 3 kepada atlet Philippines B - Davao City, Atsuko Kaiyel Dingal Tan.

Atsuko kemudiannya mara dan memenangi pingat perak selepas tewas kepada Audrey Adreana Baking dari Malaysia A - Sabah A dalam perlawanan akhir.Sementara itu, pingat perak NBD disumbangkan oleh Acara Kata Berpasukan Campuran (Mixed Team Kata) yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebelum tunduk kepada Malaysia A - Sabah A dengan keputusan tipis 2 - 3.

Sebelum itu, Pasukan NBD mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan Philippines A - BARMM 5 - 0 pada peringkat awal dan Malaysia C - F.T Labuan 5 - 0 pada Separuh Akhir B.

Dengan pungutan dua emas, satu perak dan satu gangsa, NBD berada di kedudukan kedua keseluruhan Acara Karate setakat ini, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas serantau.

Temasya yang berlangsung dari 23 hingga 27 November 2026 ini bertujuan untuk mengeratkan persahabatan dalam kalangan Negara Anggota BIMP-EAGA serta memupuk perpaduan, persefahaman dan kerjasama melalui penganjuran aktiviti sukan.