Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Penyelarasan yang lebih mantap antara kementerian dan agensi kerajaan dilihat mampu memperkukuhkan peluang pekerjaan bagi anak tempatan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran serta memperkasakan peranan sektor swasta dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Perkara tersebut ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat semasa menyokong usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat terlebih dahulu merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda mewujudkan Menteri-menteri Penyelaras sebagai mekanisme memperkukuhkan penyelarasan pentadbiran dan pembangunan negara.
Menurut Yang Berhormat, langkah tersebut mencerminkan wawasan jauh baginda dalam memastikan dasar serta usaha kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan, khususnya dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat menjelaskan bahawa isu peluang pekerjaan memerlukan pendekatan yang menyeluruh kerana melibatkan pelbagai sektor, termasuk pendidikan, latihan, pembangunan tenaga kerja, pelaburan, ekonomi, pembiayaan, kebajikan pekerja dan sektor swasta.
Sehubungan itu, jelas Yang Berhormat, peranan Menteri-menteri Penyelaras amat penting dalam memastikan semua usaha tersebut bergerak seiring, termasuk menyelaraskan sistem pendidikan dengan keperluan industri, memperkukuh latihan berasaskan permintaan pasaran, menggalakkan pelaburan yang menjana peluang pekerjaan serta memperkasakan sektor swasta sebagai rakan strategik dalam menyediakan kerjaya berkualiti kepada anak tempatan.
Yang Berhormat turut mengimbas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menekankan kepentingan meningkatkan penyertaan anak tempatan dalam sektor swasta melalui penghijrahan minda daripada suka menunggu kepada rajin bekerja, daripada banyak bergantung harap kepada lebih berusaha, dan daripada kurang berdikari kepada lebih berdikari.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat berpandangan bahawa penghijrahan minda perlu berlaku secara dua hala, iaitu bukan sahaja anak tempatan perlu bersedia menyesuaikan diri dengan keperluan industri, malah sektor swasta juga perlu menawarkan pekerjaan yang lebih kompetitif, selamat serta mempunyai laluan perkembangan kerjaya yang jelas.
“Kita mahu anak tempatan melihat sektor swasta bukan sebagai pilihan kedua, tetapi sebagai laluan kerjaya yang mempunyai masa depan,” jelas Yang Berhormat.
Sektor swasta merupakan antara penggerak utama ekonomi negara. Oleh itu, untuk menarik lebih ramai anak tempatan menyertai sektor tersebut, kita perlu melihat secara menyeluruh perkara seperti gaji, kebajikan pekerja, latihan, peluang kenaikan pangkat, perumahan, pembiayaan serta keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan, tegas Yang Berhormat.
Pada masa yang sama tambah Yang Berhormat, anak tempatan perlu dibekalkan dengan kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh industri.
Yang Berhormat turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Pelan Bersepadu Pekerjaan Anak Tempatan yang menghimpunkan usaha dalam bidang pendidikan, latihan, padanan pekerjaan, peningkatan kemahiran, insentif kepada majikan serta kebajikan pekerja di bawah satu kerangka yang lebih tersusun.
Yang Berhormat juga turut merujuk kepada amalan terbaik di Singapura menerusi program SkillsFuture dan Work-Study, selain Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO di Malaysia yang menggabungkan latihan kemahiran, padanan pekerjaan dan pembangunan kerjaya bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja.
Menurut Yang Berhormat lagi, pendekatan sedemikian menunjukkan bahawa sistem pekerjaan bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah perlu membantu individu memperoleh pekerjaan, mengekalkan pekerjaan dan membina kerjaya yang mampan.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan bahawa isu pengangguran perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira faktor ketidakpadanan kemahiran, kadar gaji, laluan kerjaya, kebajikan pekerja dan persekitaran pekerjaan.
Justeru, Menteri-menteri Penyelaras boleh memastikan data, sasaran dan tindakan kementerian serta agensi diselaraskan secara bersepadu bagi mengelakkan pertindihan dan mempercepatkan penyelesaian, tekan Yang Berhormat.
Selain itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya setiap pelaburan dan projek pembangunan dinilai berdasarkan impaknya terhadap peluang pekerjaan anak tempatan, termasuk jumlah pekerjaan yang diwujudkan, penyertaan tenaga kerja tempatan serta pemindahan kemahiran kepada rakyat negara ini.
Yang Berhormat juga berkata, apabila lebih ramai anak tempatan memperoleh pekerjaan berkualiti, pendapatan isi rumah akan meningkat, kuasa beli rakyat bertambah, perniagaan berkembang dan ekonomi negara menjadi lebih rancak.
“Maka, mengurangkan pengangguran anak tempatan bukan sekadar agenda sosial, tetapi merupakan strategi ekonomi negara,” jelas Yang Berhormat