Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan telah mengeluarkan tawaran denda kompaun terhadap sebuah syarikat kerana didapati meninggalkan sebuah perahu terbiar di kawasan tempat awam.
Perbuatan berkenaan merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Syarikat berkenaan ialah Syarikat Maimonah Hj Ismail & Anak-anak, didenda kompaun sebanyak BND2,000 di bawah Bab 12 (1) (f). Tawaran kompaun berkenaan dikeluarkan pada 23 Julai 2026.
Syarikat tersebut diarahkan untuk menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari. Jika gagal, kes berkenaan boleh dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya. Jika sabit kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), pesalah boleh menerima hukuman denda tidak melebihi BND30,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pihak jabatan ingin mengingatkan orang ramai bahawa meninggalkan kenderaan atau apa-apa barangan terbiar di atas mana-mana bahagian jalan raya atau di atas sebarang tanah lapang awam tanpa kebenaran yang sah merupakan suatu kesalahan.
Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Bab 12(1)(f), termasuk denda kompaun sebanyak BND1,000 bagi individu dan BND2,000 bagi syarikat.