Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
LAMBAK, Selasa, 24 November. - Kita perlu bergerak daripada kesedaran kepada penerimaan, daripada penerimaan kepada keterangkuman atau inklusiviti dan daripada keterangkuman kepada penyertaan yang benar-benar bermakna.
Inilah perubahan yang perlu kita usahakan bersama. Sesebuah masyarakat tidak boleh dianggap inklusif hanya kerana ia membuka pintu. Masyarakat yang inklusif memastikan setiap individu berpeluang melangkah masuk, mengambil bahagian, didengari dan dihargai.
Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal menyatakan demikian pada Majlis FITRAH Gala Day bersempena Sambutan 30 Tahun Penubuhan Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH) berlangsung di Dewan Mahligai Al-Barakah Ballroom, Mid Valley Shopping Mall, Lambak, hari ini.
Menurut Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan, dalam pendidikan, prinsip tersebut membawa makna yang sangat jelas. Kehadiran seorang kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah merupakan langkah penting, tetapi kehadiran sahaja belum mencukupi.
Kejayaan sebenar, jelas Yang Mulia, terletak pada pengalaman pembelajaran yang bermakna, perkembangan keyakinan diri, hubungan sosial yang positif dan peluang untuk mencapai kemajuan menurut kebolehan serta keperluan masing-masing.
"Atas sebab itulah, intervensi awal dan kesinambungan sokongan amat penting. Apabila keperluan perkembangan dikenal pasti lebih awal, keluarga dapat dibimbing dengan lebih terarah dan kanak-kanak dapat menerima sokongan yang bersesuaian pada waktu yang kritikal.
"Sama penting ialah memastikan sokongan tersebut tidak terputus apabila anak tersebut melangkah daripada alam awal kanak-kanak kepada pendidikan formal," tegas Yang Mulia.
Sehubungan itu, tambah Yang Mulia, Kementerian Pendidikan akan terus memberikan perhatian kepada usaha memperkukuh intervensi awal serta kesinambungan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas dan keluarga mereka. Usaha ini mencerminkan hasrat untuk membina ekosistem pendidikan yang lebih responsif, bersepadu dan berpusatkan keperluan setiap anak.
Yang Mulia seterusnya menyatakan, antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah 'National Intervention Centre for Early Childhood Education', atau singkatannya NICEe, yang akan memberikan tumpuan kepada intervensi awal, khususnya bagi kanak-kanak dengan autism.
Inisiatif itu kata Yang Mulia, dihasratkan untuk membantu membina asas perkembangan dan kesediaan kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan formal.
Namun, tegas Yang Mulia lagi, keberkesanan intervensi awal tidak hanya bergantung kepada sebuah pusat atau satu bentuk perkhidmatan. Ia memerlukan kerjasama erat antara keluarga, pendidik, pengamal intervensi dan pihak-pihak berkepentingan.
"Daripada pengenalpastian keperluan kepada intervensi, daripada persediaan ke sekolah kepada pembelajaran inklusif, setiap peralihan perlu dirancang dengan teliti. Kita tidak mahu ada anak yang tercicir hanya kerana sokongan terhenti di antara satu peringkat dengan peringkat yang lain," ujar Yang Mulia.
Yang Mulia seterusnya berharap agar FITRAH akan terus berkembang sebagai rakan strategik Kementerian Pendidikan, bukan sekadar menggerakkan kempen kesedaran, tetapi turut memperkukuh penerimaan masyarakat, menggalakkan penyertaan dan membantu memastikan peluang yang diwujudkan benar-benar dapat dimanfaatkan.
Terdahulu, Yang Mulia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada FITRAH sempena Ulang Tahun Penubuhannya Ke-30 dan penghargaan itu ditujukan khusus kepada para perintis yang telah meletakkan asas persatuan ini tiga dekad yang lalu dan kepada barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa yang meneruskan amanah tersebut serta kepada setiap ibu bapa, penjaga, pendidik, ahli terapi dan sukarelawan yang telah mencurahkan masa, tenaga dan kasih sayang tanpa mengharapkan balasan.
Di sebalik setiap kemajuan yang diraikan, terdapat kesabaran, pengorbanan dan keyakinan bahawa setiap anak berhak diberi peluang untuk berjaya. 30 tahun bukan sekadar angka dan ia melambangkan ketabahan sesebuah persatuan, kematangan kesedaran masyarakat, dan perubahan cara kita memahami keupayaan serta aspirasi individu berkeperluan khas. Namun, pencapaian masa lalu hendaklah menjadi asas untuk melangkah lebih jauh, agar sumbangan yang dicurahkan menepati perkembangan semasa.
Tambah Yang Mulia, nama FITRAH itu sendiri mengingatkan kita kepada hakikat yang amat mendasar, iaitu setiap insan dilahirkan dengan maruah, nilai dan potensi yang tersendiri. Penghayatan terhadap ayat ini menuntut kita melihat setiap anak bukan semata-mata melalui cabaran yang dihadapinya, tetapi melalui martabat insan dan potensi yang dapat dikembangkan dengan bimbingan serta sokongan yang bersesuaian.
Selama tiga dekad, Yang Mulia berkata, FITRAH telah membantu memperluas kesedaran dan memperdalam kefahaman masyarakat terhadap perkembangan, kebajikan dan keperluan individu berkeperluan khas. Sumbangan ini amat besar nilainya. Namun, cabaran kita pada masa hadapan bukan hanya untuk memastikan masyarakat lebih mengetahui, tetapi juga untuk memastikan pengetahuan itu diterjemahkan kepada sikap, tindakan dan peluang yang nyata.
Sementara itu, Presiden FITRAH, Dayang Hajah Norjum binti Haji Yusop dalam ucapan alu-aluannya berkata, sepanjang 30 tahun ini, kita telah menyaksikan bagaimana FITRAH berkembang daripada sebuah inisiatif kecil kepada sebuah organisasi yang dihormati dan dipercayai. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi para pengasas, kepimpinan terdahulu, sukarelawan, serta sokongan padu daripada rakan-rakan kolaborasi dan komuniti.
Kata Presiden FITRAH, melihat kepada perkembangan dan kejayaan yang telah diraih oleh pelajar-pelajar pada keseluruhannya, membuktikan bahawa pelajar berkeperluan khas boleh digilap jika diberi peluang, sokongan dan dididik mengikut kemampuan dan potensi masing-masing.
Ke arah itu, FITRAH, insyaaAllah, akan terus memperkukuh program-program pembangunan, memperluas jaringan kerjasama, serta memanfaatkan teknologi bagi memastikan impak yang lebih besar dan berkesan. Matlamat FITRAH adalah jelas untuk terus menjadi pemangkin perubahan positif melalui masyarakat inklusif.
"Dalam hubungan ini saya ingin menyeru kepada generasi muda untuk bersama-sama menyertai perjuangan ini," tambah Presiden FITRAH lagi.
Majlis diteruskan dengan Ceramah Khas daripada Dr. Koay Teng Leong, Malaysia dan Inklusiviti Digital, Peluang Pendidikan (Kolaborasi Nisai dan FITRAH) oleh Guru Kanan / Guru Peneraju, Nisai (B) Sendirian Berhad, Dayang Zatil Ridh'wah binti Darot.
Selain itu, acara juga dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada pelajar-pelajar Sekolah Rendah Mabohai dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, juga persembahan Tai Chi oleh Winnie Koay Shi Wei dan Madam Koay.
Majlis Gala Day hari ini memperlihatkan kepada kita satu mesej yang amat penting: bakat dan potensi tidak wajar diukur melalui satu ukuran yang sama. Apabila diberikan ruang, galakan dan sokongan, individu berkeperluan khas mampu menyerlahkan kebolehan mereka dengan cara yang tersendiri.
Selain itu, satu lagi detik yang cukup bermakna pada majlis tersebut ialah pelancaran Buku Kenangan 30 Tahun Penubuhan FITRAH. Buku ini bukan sekadar koleksi gambar dan catatan sejarah, ia merupakan rakaman tentang insan-insan yang telah menyumbang, keluarga yang tidak pernah berputus asa, serta semangat kebersamaan yang menggerakkan persatuan ini sepanjang tiga dekad.
Apa yang diharapkan adalah buku tersebut akan menjadi sumber inspirasi dan rujukan kepada generasi penerus untuk membawa perjuangan FITRAH ke tahap yang lebih tinggi. Semoga FITRAH terus maju sebagai suara yang diyakini, rakan yang dihormati dan pemangkin kepada masyarakat yang lebih prihatin serta inklusif.