Majlis Doa Kesyukuran raikan kejayaan Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong

25 Nov 2026 - 1:32am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Selasa, 24 November. - Bagi meraikan kejayaan Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong yang menyertai International Dragon Boat Regatta 2026 di Tebingan Kuching, Sarawak pada baru-baru ini, satu Majlis Doa Kesyukuran telah diadakan bertempat di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, di sini, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Juga hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.

Majlis yang diadakan sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan atas pencapaian Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong yang telah menyertai edisi ke-12 Sarawak International Dragon Boat Regatta 2026 pada 23 hingga 25 Oktober 2026 lepas yang mempertandingkan sebanyak tujuh kategori dengan penyertaan 80 pasukan dari 22 buah negara.

Dalam kejohanan tersebut, Daerah Tutong telah menghantar sebanyak tiga pasukan yang menyertai tiga kategori pertandingan, iaitu Kategori DB20 Premier Open, Kategori DB12 Premier Open dan Kategori DB12 Senior Open.

Hasil daripada penyertaan berkenaan, Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong telah berjaya meraih tempat ketiga bagi Kategori DB12 Senior Open.

Pencapaian berkenaan merupakan satu kejayaan yang membanggakan serta mencerminkan komitmen, disiplin, semangat juang dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang kejohanan berlangsung.

Penyertaan dalam kejohanan di peringkat antarabangsa tersebut bukan sahaja memberi peluang untuk menguji keupayaan dan meningkatkan pengalaman dalam sukan lumba perahu, malah turut membawa nama Daerah Tutong ke persada sukan antarabangsa.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sebagai tanda syukur atas kejayaan yang diraih serta harapan agar pencapaian tersebut menjadi pendorong kepada Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.