Oleh : Khartini Hamir, Aimi Sani
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat ke Moscow, Persekutuan Rusia bagi mengadakan Keberangkatan Negara selama dua hari bermula pada 24 hingga 25 November 2026, atas undangan Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah ahli-ahli kerabat diraja.
Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah DYMM bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah DYMM ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, Timbalan - Timbalan Menteri, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri merangkap Grand Chamberlain.