Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD)' bertempat di Dewan Auditorium Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Taklimat disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim kepada seramai 131 penuntut Tahun 7 sekolah berkenaan.
Menurut Dayang Mufidah, raja yang juga selaku pemimpin bagi NBD adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan permaisuri baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.
Selain itu, jelasnya, NBD adalah nama rasminya dengan ibu negara ialah Bandar Seri Begawan serta mempunyai empat daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.
Tarikh Hari Kebangsaan NBD adalah pada setiap 23 Februari dan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan Islam sebagai agama rasminya. Industri utama NBD adalah minyak dan gas dan mata wangnya ialah Dolar Brunei.
Dayang Mufidah juga menekankan, bendera hendaklah dinaik-kibarkan pada hari-hari kebesaran negara dan hari adat istiadat, Sambutan Hari Kebangsaan NBD; Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Istiadat Perkahwinan Diraja serta mana-mana hari yang diisytiharkan atau diumumkan untuk mengibarkan bendera.
Jelasnya, kesalahan semasa pengibaran bendera negara antaranya bendera yang koyak dan luntur tidak boleh dinaikkan dan hendaklah diganti dengan yang baharu dan bendera hendaklah jangan sekali-kali menyentuh sebarang benda di bawahnya misalnya tanah, lantai, air dan seumpamanya.
Tambahnya, apa jua tanda, huruf, perkataan, rajah, bentuk, lukisan atau lambang selain daripada lambang yang ada pada masa ini tidak boleh diletakkan pada bendera dan bendera tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menerima, memegang, membawa atau menyerahkan sesuatu benda dan sebagainya.
Dalam taklimatnya juga menerangkan bahawa Lagu Kebangsaan NBD merupakan doa kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan semasa menyanyikan hendaklah berdiri tegak, penuh tertib dan semangat kenegaraan yang tinggi, mengikut seni kata dan irama lagu, memahami dan menghayati makna seni kata lagu dinyanyikan dan ia hendaklah dinyanyikan pada tempat dan masa yang tempat / sesuai serta kita wajar memberi penghormatan sehinggalah berakhirnya lagu dan bukannya sambil lewa.
Kesimpulan taklimat menekankan, kibarkanlah dengan megah bendera negara dan nyanyikanlah lagu kebangsaan NBD dengan penuh penghayatan dan penghormatan.
Setiap negara di dunia jelasnya, memiliki bendera rasmi dan lagu kebangsaan masing-masing termasuklah NBD. Bendera negara dan lagu kebangsaan perlu dihayati, dihormati dan dipelihara. Bendera sebagai lambang kedaulatan negara. Turut hadir, Timbalan Pengetua Akademik Maktab, Dayang Masnurfaiza binti Haji Md Zaini serta para tenaga pengajar.
Selain mendengarkan taklimat, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera’ serta berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi menguji dan meningkatkan kefahaman mengenai kandungan taklimat. Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah Kuiz Kenegaraan oleh Dayang Mufidah.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.