Program bantuan terarah, disokong dengan peluang pekerjaan, latihan, pembangunan

6 Og 2026 - 4:39am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad RoslandFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Program bantuan yang disediakan kerajaan hendaklah bukan sahaja berperanan meringankan beban golongan yang memerlukan, malah menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan dan pendapatan mereka secara mampan.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat semasa menyokong usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat menyambut baik usaha kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan melalui pelbagai program bantuan yang lebih terarah dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurut Yang Berhormat, bantuan yang diberikan sewajarnya disokong dengan peluang pekerjaan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan serta inisiatif peningkatan pendapatan agar penerima bantuan dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka secara berterusan.

Yang Berhormat turut berpandangan bahawa penyelarasan Menteri-menteri Penyelaras sebagai satu peluang untuk menyatukan usaha tersebut di bawah satu pendekatan yang lebih menyeluruh agar pendidikan, kemahiran, pekerjaan, pelaburan, sektor swasta dan kesejahteraan rakyat bergerak dalam satu ekosistem.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat menegaskan bahawa kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi, bahkan sejauh mana rakyat dapat menikmati hasil pembangunan negara.

Tambahnya, apabila lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan yang berkualiti, pendapatan isi rumah akan meningkat, lebih banyak keluarga dapat keluar daripada kemiskinan, sektor swasta menjadi lebih kukuh dan ekonomi negara terus berkembang.

Yang Berhormat turut menyatakan keyakinan bahawa penyelarasan yang lebih mantap menerusi Menteri-menteri Penyelaras mampu menyatukan usaha dalam bidang pendidikan, pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan, pelaburan, sektor swasta dan kesejahteraan rakyat di bawah satu ekosistem yang lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, Yang Berhormat sekali lagi merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda memperkukuhkan penyelarasan pentadbiran dan pembangunan negara serta menyatakan sokongan penuh terhadap usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.