Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) ingin memaklumkan bahawa satu aduan telah diterima oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), JHES mengenai produk makanan jenama Argentina keluaran Century Pacific Food, Inc., beralamat di Bldg 4, L7B7 Liip Avenue, Barangay Maplasan, Binan City Province Of Laguna, Philippines yang dijual di negara ini yang diragui kehalalannya.
Hasil analisis yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa salah satu produk daripada tiga produk telah dikesan mengandungi DNA khinzir (Porcine DNA), iaitu produk Beef Loaf, nombor batch 6BL78, 6BL79, AB107 dan LBL51.
Susulan penemuan berkenaan, Sijil Halal yang dikeluarkan oleh badan pensijilan Halal Islamic Da’wah Council of Philippines (IDCP) bagi produk berkenaan juga telah ditarik balik.
Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, JHES ingin menegaskan kepada pemilik mana-mana pasar raya, kedai runcit dan lain-lain premis perniagaan di Negara Brunei Darussalam yang menjual produk makanan Beef Loaf jenama Argentina dan semua produk makanan jenama Argentina keluaran Century Pacific Food, Inc. untuk segera diasingkan dan dijual di ruangan yang tidak terdedah kepada orang awam di premis-premis mereka.
Sehubungan itu, KHEU juga ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pengimport, pembekal dan pengedar supaya sentiasa berwaspada serta lebih peka dalam pengurusan produk dan barangan tidak halal, di semua peringkat pengendalian termasuk semasa pengimportan, penyimpanan di gudang atau tempat simpanan, pengangkutan, pengendalian dalaman serta penjualan di premis.
Langkah-langkah berkenaan bertujuan untuk memastikan produk tidak halal diasingkan sepenuhnya daripada produk halal bagi mengelakkan pencemaran silang (cross contamination) serta kekeliruan orang ramai, khususnya masyarakat Islam daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk makanan, minuman dan barangan gunaan yang tidak halal.
Di samping itu, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat berhubung perkara berkenaan dan bagi yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke JHES melalui BKMH dengan menghubungi talian Hotline +673 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.