Lawatan UNIKARTA perkukuh jalinan akademik, masyarakat

31 Jul 2026 - 6:43am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Keriam

KAMPUNG KERIAM,  Khamis, 30 Julai. - Hubungan akademik dan pertukaran ilmu pengetahuan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Indonesia terus diperkukuhkan menerusi lawatan sambil belajar rombongan Universitas Kutai Kartanegara (UNIKARTA) Tenggarong, Kalimantan Timur ke Kampung Keriam, yang membuka ruang kepada perkongsian pengalaman mengenai kehidupan masyarakat, budaya setempat serta pembangunan masyarakat.

Rombongan seramai tujuh orang itu diketuai oleh Ketua Program Studi Pendidikan Bahasa Inggeris, Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP) UNIKARTA, Dr. Fitria Mei Sarah, S.Pd., M.Pd.

Lawatan bertujuan menimba pengetahuan mengenai kehidupan, sosiobudaya dan masyarakat Kampung Keriam, di samping meninjau dengan lebih dekat sistem pendidikan di sebuah sekolah swasta yang beroperasi di kampung berkenaan.

Ketibaan rombongan di Masjid Kampung Keriam telah dialu-alukan oleh Ketua Kampung Keriam, Awang Haji Bahrin bin Haji Bolhassan, yang turut menyampaikan taklimat mengenai tatacara pelaksanaan pembayaran Pencen Tua dan Elaun Kebajikan yang kebetulan sedang berlangsung di masjid tersebut.

Rombongan turut berpeluang menyaksikan sendiri proses pembayaran berkenaan, selain beramah mesra dengan para penerima pencen, penduduk kampung serta Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Keriam yang membantu melancarkan urusan tersebut.

Lawatan kemudian diteruskan ke kediaman Ahli MPK Keriam, Awang Haji Nordin bin Saban, bagi mengikuti sesi taklimat mengenai sejarah, latar belakang serta perkembangan Kampung Keriam. Sesi soal jawab yang diadakan selepas taklimat berlangsung dalam suasana mesra dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Rombongan kemudian mengunjungi Sekolah Nusa Jaya, Kampung Keriam, sebuah institusi pendidikan swasta yang menjadi antara tarikan utama lawatan dan Guru Besar sekolah berkenaan, Awang Muhammad Khaliq Nathiq bin Abdul Rahman, memberikan penerangan mengenai sejarah penubuhan sekolah, sistem pentadbiran serta pendekatan pendidikan yang dilaksanakan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan, rombongan turut melawat Pusat Bahagia Tutong bagi melihat sendiri pelbagai aktiviti pembangunan kemahiran yang dijalankan, termasuk aktiviti memasak, penghasilan produk serta kegiatan keusahawanan yang melibatkan para pelatih pusat tersebut.

Program lawatan diakhiri dengan kunjungan hormat kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Muhammad Sofian bin Haji Basri, di Rumah Persinggahan Pegawai Daerah Tutong.

Pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pendidikan, kepelbagaian etnik, budaya dan kehidupan masyarakat di Daerah Tutong, selain memperkukuhkan hubungan kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti kedua-dua pihak.

MPK Keriam turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong atas kesudian menerima kunjungan rombongan serta menyediakan jamuan makan tengah hari kepada para peserta lawatan.

Lawatan tersebut diharap akan terus mempererat hubungan persahabatan antara NBD dan Indonesia, di samping membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti serta pertukaran budaya pada masa hadapan.