Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Seramai 50 peserta Program Persediaan Pekerjaan (Career Readiness Bootcamp) daripada kalangan Graduan Bidang Ugama telah mengadakan Lawatan Industri ke Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai sebahagian daripada pengisian Program Persediaan Pekerjaan (Career Readiness Bootcamp), hari ini.
Program Persediaan Pekerjaan yang dilaksanakan secara rintis pada minggu ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang disertai oleh 50 graduan dalam bidang Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Pengajian Islam, Syariah, Undang-Undang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab serta Al-Quran dan Qiraat.
Semasa lawatan tersebut, para peserta telah mengikuti sesi 'Leadership Dialogue : Finding Your Edge' yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.
Melalui sesi tersebut, para peserta didorong untuk mengambil tanggungjawab terhadap pembangunan kerjaya masing-masing dengan bersikap lebih proaktif dalam mengenal pasti peluang serta membuat persediaan yang sewajarnya untuk menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.
Para peserta turut didedahkan kepada kepelbagaian laluan kerjaya dalam industri perbankan dan kewangan Islam, di samping memperoleh perspektif majikan mengenai ciri-ciri, kompetensi dan sikap profesional yang menjadi nilai tambah dalam kalangan graduan baharu.
Selain itu, para peserta turut menyertai sesi jaringan profesional (networking session) bersama pihak pengurusan dan pegawai-pegawai BIBD.
Sesi tersebut memberi peluang kepada para peserta berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan dan pegawai-pegawai BIBD bagi mendapatkan panduan mengenai proses pengambilan pekerja, penyediaan Curriculum Vitae (CV), teknik menghadapi temu duga serta kaedah menampilkan potensi, kemahiran dan nilai diri secara lebih berkesan kepada bakal majikan.
Lawatan industri ini merupakan antara komponen penting dalam Program Persediaan Pekerjaan yang memberi penekanan kepada pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning).
Melalui pendekatan ini, para peserta berpeluang melihat sendiri amalan terbaik dalam organisasi, memahami budaya kerja profesional serta memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan sebenar dunia pekerjaan.
Pelaksanaan program ini mencerminkan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation melalui kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan.
Usaha ini dihasratkan dapat menyokong pembangunan graduan yang berilmu, berdaya tahan, mudah menyesuaikan diri serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara, selaras dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035.