Kempen MESRA memantapkan budaya kecemerlangan perkhidmatan

22 Nov 2026 - 7:36am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Sabtu, 21 November. - Kempen MESRA Peringkat Kebangsaan dilancarkan secara rasmi hari ini dalam satu majlis yang berlangsung di Jerudong Park Garden, sebagai usaha memperkukuh budaya kecemerlangan perkhidmatan, profesionalisme dan layanan mesra di Negara Brunei Darussalam (NBD) menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027 - VBY 2027).

Majlis Pelancaran tersebut disempurnakan bersama oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Kempen MESRA yang mula diperkenalkan pada 2022 sebagai inisiatif meningkatkan standard hospitaliti dalam sektor pelancongan, kini diperluaskan sebagai gerakan peringkat kebangsaan yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat serta sektor awam dan swasta.

Berteraskan slogan 'Bermula Dari Kita' (It Starts With Us), kempen berkenaan mengetengahkan lima nilai utama, iaitu Muhibah, Etika, Senyum, Ramah dan Adil, yang mencerminkan identiti serta budaya masyarakat NBD dalam memberikan layanan kepada para pengunjung.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Hajah Salinah binti Haji Mohd. Salleh, menjelaskan bahawa kempen berkenaan merupakan satu komitmen bersama seluruh negara dan kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan setiap pengunjung merasai keramahan dan layanan mesra masyarakat NBD.

Menurutnya lagi, sejak diperkenalkan, hampir 700 petugas barisan hadapan telah mengikuti latihan di bawah inisiatif berkenaan, termasuk kakitangan hotel dan restoran, pemandu pelancong berlesen, pegawai imigresen dan kastam, pemandu Dart dan teksi serta petugas di kedai-kedai runcit dan tempat-tempat tarikan pelancong.

Kempen tersebut katanya, menyasarkan untuk melatih seramai 1,000 petugas barisan hadapan menjelang penghujung 2026, dengan sokongan 50 Duta MESRA yang baharu dilantik bagi menjadi contoh dan memperjuangkan nilai-nilai kempen berkenaan.

Tambahnya lagi, usaha berkenaan turut diperkukuh melalui latihan dan pensijilan berterusan, audit perkhidmatan, penilaian pelanggan termasuk penilaian pelanggan rahsia (mystery shopper), serta program kesedaran awam dan jangkauan ke sekolah-sekolah.

Antara enam komponen utama kempen ialah Latihan dan Pensijilan Kecemerlangan Perkhidmatan Kebangsaan, Pelaksanaan Ikrar Perkhidmatan Kebangsaan, Program Duta MESRA, Audit Perkhidmatan dan Sistem Penarafan Pelanggan, Kempen Media dan Kesedaran Awam serta Anugerah Kecemerlangan MESRA.

Kempen tersebut turut mensasarkan pensijilan kepada 200 organisasi dan syarikat serta pelantikan 50 Duta MESRA di bawah Pelan Pelaksanaan 2026-2027.

Kemuncak majlis menyaksikan pelantikan rasmi seramai 50 Duta MESRA daripada pelbagai sektor, termasuk perhotelan, pemandu pelancong, institusi pendidikan, restoran, pencipta kandungan dan perniagaan tempatan.

Para duta berkenaan akan memainkan peranan sebagai contoh teladan dalam mengamalkan lima nilai MESRA, selain membantu mempromosi semangat layanan mesra melalui latihan, promosi dan penglibatan bersama masyarakat.

Majlis turut menyaksikan wakil daripada pelbagai sektor menandatangani Ikrar Perkhidmatan Kebangsaan sebagai tanda komitmen institusi masing-masing untuk mengekalkan standard perkhidmatan pelanggan yang tinggi serta memberikan pengalaman bermakna kepada penduduk tempatan dan pengunjung antarabangsa.

Pelaksanaan kempen tersebut diharap akan meningkatkan tahap kepuasan pengunjung, memperkukuh reputasi NBD sebagai destinasi pelancongan, meningkatkan jumlah ketibaan pelawat serta memupuk budaya kecemerlangan perkhidmatan yang mampan dalam semua sektor.

Usaha berkenaan juga penting dalam mempersiapkan negara menjelang VBY 2027, dengan menekankan bahawa keramahan masyarakat dan pengalaman yang diterima pengunjung merupakan antara faktor utama yang meninggalkan kesan positif serta menggalakkan mereka untuk kembali berkunjung.