Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kitani Kreatif selaku rakan strategik telah mengadakan Majlis Perasmian Pameran Ristaan Kampung Aing 2026 bertemakan 'Kampung Aing : Warisan Merentasi Zaman' yang bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Bandar Seri Begawan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan majlis perasmian pameran tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang seterusnya menyaksikan ruang pameran di akhir acara.
Turut hadir, pengarah-pengarah, para pensyarah, pegawai dan kakitangan daripada sektor kerajaan dan swasta, ahli akademik, para artis serta penggiat seni, para pencinta dan peminat sejarah.
Majlis perasmian tersebut turut diselajurkan dengan pelancaran buku terbitan terbaharu PSB berjudul 'Kampung Aing : A Socio-Economic and Cultural Transition', hasil penulisan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Haji Tassim bin Haji Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan alu-aluan di majlis berkenaan, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh selaku Pengerusi Majlis antaranya menjelaskan dengan mengangkat tema 'Kampung Aing : Warisan Merentasi Zaman' penganjuran pameran ini adalah sebagai satu usaha untuk merista, mengimbau dan mengingatkan kembali penduduk-penduduk di Kampong Ayer serta orang ramai akan kegemilangan Kampong Ayer yang telahpun kita sama-sama warisi sejak ratusan tahun dahulu hinggalah ke hari ini.
Beliau juga antaranya berkongsi sedikit penjelasan mengenai dengan penggunaan perkataan 'Kampung Aing' dari perkataan 'Kampong Ayer' yang digunakan sebagai tajuk pameran ini adalah kerana mengambil kira kepada kewalihan dan kelaziman sebutannya dalam Bahasa Melayu Brunei yang dituturkan oleh masyarakat Melayu Brunei di Kampong Ayer sejak dahulu lagi.
"Untuk pengetahuan kita bersama, objektif pameran ini dilaksanakan adalah semata-mata untuk memupuk dan membangun kesedaran serta meningkatkan rasa kepunyaan dan semangat cintakan negara kepada para pengunjung khususnya para belia masa kini akan kepentingan memelihara warisan negara khususnya Kampong Ayer yang merupakan sebuah asset sangat berharga dan bernilai tinggi yang menjadi lambang kepada jati diri dan identiti Negara Brunei Darussalam (NBD).
"Malah, menerusi pameran ini nanti, ia juga dapat memberikan ilmu dan pengetahuan serta pengalaman kepada para pengunjung tentang kepentingan Kampong Ayer yang dahulunya memainkan peranan sangat penting sebagai sebuah pusat pemerintahan, pentadbiran, perdagangan dan diplomatik, pusat perkembangan ilmu dan agama Islam, pusat kesenian, pusat kebudayaan dan adat istiadat dalam Kesultanan Brunei," ujar Awang Mohammad Faisal.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama Kitani Kreatif dan Pengarah Projek Pameran Ristaan Kampung Ayer, Dayang Nuur Aqilah binti Ali turut berkesempatan menyampaikan ucapan di majlis perasmian pameran berkenaan yang antara lain menyatakan kebanyakan antara kita membesar di NBD yang dibentuk oleh keputusan, pembangunan, dan dasar-dasar yang wujud jauh sebelum zaman kita.
Namun, jelasnya, kita bukan sekadar hasil daripada masa silam kita. Kita juga merupakan pihak yang turut berperanan dalam mencorakkan masa depan. Sebagai seorang anak muda, beliau juga percaya dengan masih mempunyai baki lima tahun sebelum tidak lagi dianggap sebagai golongan muda yang mana dirinya melihat perkara ini sebagai satu peluang sekali gus satu tanggungjawab.
Tambah Dayang Nuur Aqilah lagi, sebagai anggota masyarakat, beliau sedar bahawa apa jua perubahan yang ingin kita bawa, kita akan menjadi lebih kuat apabila kita mengusahakannya bersama-sama. Hal ini juga yang membawa dirinya kepada Pameran Ristaan Kampung Aing.
Majlis kemudiannya disusuli dengan tayangan mikro-dokumentari dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebelum diteruskan dengan lawatan ke pameran berkenaan.
Pameran berkenaan dibukakan kepada orang ramai selama 14 hari, bermula Sabtu, 21 November hingga Jumaat, 4 Disember 2026, sepanjang waktu operasi Kompleks YSHHB. Pameran ini bertempat di Dewan Tingkat 1 kompleks berkenaan.
Pameran ini turut menampilkan hasil karya para penggiat seni tempatan daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat, dengan mempamerkan lebih daripada 100 buah gambar dan ilustrasi yang mengimbau nostalgia serta kenangan kehidupan masyarakat Kampong Ayer suatu ketika dahulu sebagai ristaan dan tatapan generasi masa kini.
Penganjuran pameran ini merupakan inisiatif PSB untuk merista dan mengetengahkan keunikan warisan Kampong Ayer yang berusia lebih seribu tahun, serta kepentingannya dalam sejarah Kesultanan Brunei sebagai pusat pemerintahan, perdagangan, perkembangan ilmu dan agama Islam, kesenian serta kebudayaan di nusantara.