Karnival Media RTB dekatkan dunia penyiaran dengan masyarakat

22 Nov 2026 - 7:25am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Sabtu, 21 November. - Dalam usaha mendekatkan dunia penyiaran dengan masyarakat serta meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai peranan dan fungsi penyiaran di Negara Brunei Darussalam, Radio Televisyen Brunei (RTB) menganjurkan Karnival Media RTB 2026 selama tiga hari, bermula hari ini hingga 23 November, bertempat di Atrium Setia Point, Berakas.

Hadir menyempurnakan perasmian karnival berkenaan ialah Pemangku Pengarah RTB, Cheong Chee Keong. Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, yang juga Ketua Kampung Belimbing, Subok, mantan-mantan Pengarah RTB, ketua-ketua kampung, para penaja, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang ramai.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti acara pemotongan reben oleh Pemangku Pengarah RTB sebagai tanda perasmian karnival berkenaan.

Sejurus selepas itu, Pemangku Pengarah RTB bersama para jemputan berkesempatan melawat reruai pameran yang mengetengahkan pelbagai aspek penyiaran, penerbitan rancangan, teknologi serta perkembangan perkhidmatan RTB.

Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Lim Kim Dien selaku Pengerusi Karnival Media RTB 2026. Majlis kemudian diikuti persembahan tradisi budaya daripada para pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa Kuala Belait.

Penganjuran karnival berkenaan merupakan antara inisiatif RTB dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, di samping menyediakan platform pendidikan dan perkongsian ilmu bagi membolehkan orang ramai mengenali dengan lebih dekat proses kerja di sebalik penerbitan dan penyiaran rancangan televisyen, radio, berita serta kandungan media digital.

Melalui pendekatan informatif, edukatif dan interaktif, para pengunjung berpeluang menyelami dunia penyiaran, mengenali teknologi yang digunakan serta memahami peranan dan tanggungjawab warga penyiaran dalam memberikan maklumat, mendidik dan menghiburkan masyarakat.

Segmen pameran karnival dibahagikan kepada lapan zon, iaitu Zon 1 - Sejarah dan Transformasi RTB; Zon 2 - Pra-Penerbitan; Zon 3 - Teknologi Penyiaran; Zon 4 - Pascapenerbitan dan Penyuntingan; Zon 5 - Informasi dan Kreativiti; Zon 6 - Dunia Media RTB, termasuk kandungan RTBGo; Zon 7 - RTB Bersama Masyarakat; dan Zon 8 - Penjualan Barangan Cenderamata RTB.

Pembahagian zon tersebut memberikan pendedahan kepada para pengunjung mengenai perjalanan sesebuah penerbitan, bermula daripada peringkat perancangan dan pembangunan idea sehingga ke peringkat penyuntingan, penyiaran serta penyampaian kandungan kepada masyarakat melalui pelbagai platform.

Selain pameran, pelbagai program dan aktiviti pentas turut disediakan sepanjang tiga hari karnival, merangkumi sesi bual bicara, forum, perkongsian ilmu, kuiz, persembahan hiburan, aktiviti riadah serta program berbentuk pendidikan dan kemasyarakatan yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan usia.

Antara pengisian pada hari pertama ialah sesi perkongsian Menangani Berita Palsu (Tackling Fake News) yang menampilkan ahli panel daripada Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), dan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa RTB.

Sesi berkenaan mengetengahkan kepentingan literasi media, amalan menyemak kesahihan maklumat serta tanggungjawab bersama dalam menangani penyebaran berita palsu, khususnya melalui platform media sosial.

Turut mengisi acara pada hari pertama ialah Jadi Reporter Dalam 30 Minit, Sebelum Ia Sampai Ke Skrin, Cerita Orang Lama RTB, Ad-Deen Wad-Dunyaa Edisi Khas, Vibe Duo Extra serta The Countdown: Festival Media Kreatif 2026.

Pada hari kedua, para pengunjung akan berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik, antaranya Pound Fit by Harshey, sesi bersama dua pemain DPMM FC, kuiz Boleh Percaya Kah?, Satu Pentas, Sayembara Bermukun Purih Berunai, Harmoni Si Comelku, Pentas Drama serta Top 5 Anugerah Skrin Brunei.

Manakala, pengisian pada hari terakhir pula merangkumi Career Talk RTB, Lembaran Manuskrip, forum bertajuk AI Akan Ganti Orang Media?, Di Sebalik Suara Berita, Kawan, Bukan Lawan, Personal Growth : Glow Up Starts Today serta sesi perkongsian mengenai perancangan kewangan dan persediaan menghadapi persaraan menerusi Financial Talk : Are You Retirement Ready?.

Sebagai salah satu acara kemuncak, para pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi Cabutan Bertuah yang dijadualkan berlangsung pada 23 November 2026, dari pukul 8.00 hingga 9.00 malam.

Dalam menjayakan penganjuran karnival berkenaan, RTB turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada pihak penaja, iaitu Arabian High Street, Nestek Sdn. Bhd., Al-Hijrah Travel & Tours, Studio 7, Firoz Jaya Silk House & Textile Palace dan M.S. Titanstar Enterprise (Paloma). Karnival Media RTB 2026 dibukakan kepada orang ramai dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam sepanjang tiga hari penganjurannya di Atrium Setia Point, Berakas.