Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Al-Quran merupakan sumber panduan utama umat Islam dan menjadi antara tunjang penting dalam sistem pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sejak bermulanya Pendidikan Ugama Formal pada 16 September 1956, pengajaran dan pembelajaran Al-Quran terus diberikan penekanan dalam usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir membaca ayat-ayat suci Al-Quran, malah mampu memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
Usaha berterusan tersebut juga mencerminkan hasrat negara untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, selaras dengan gagasan Negara Zikir.
Sebagai tanda kesyukuran sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengungkayahkan majlis tersebut dengan melibatkan 70 peserta terpilih daripada keempat-empat daerah.
Para peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah Arab dan sekolah ugama serta peserta-peserta Skim Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak (STAKA) dan Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).
Majlis berkenaan diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, di sini, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; serta pegawai-pegawai kanan KHEU.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.
Majlis disusuli dengan bacaan Doa Khatam oleh Pelajar Tahun 1, STAR, Awang Ahmad Harith Irfan bin Haji Umardani. Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir, sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai JPI, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan.
Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal berkenaan merupakan satu pencapaian bermakna yang mencerminkan perjalanan panjang dan komitmen berterusan negara dalam memperkasa pendidikan ugama.
Penganjuran majlis seumpama tersebut turut menjadi wadah untuk menghargai legasi yang telah dibina sejak tujuh dekad lalu, di samping menyemarakkan semangat untuk meneruskan usaha memartabatkan pendidikan ugama demi manfaat generasi akan datang.