Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Ahad, 4 Oktober. - Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Shahney Event Management telah menganjurkan Program D'TYF The Tutong Youth Festival : Gaya dan Stamina yang berlangsung di Gelanggang Luar, Trek, Kompleks Sukan Tutong, hari ini.
Penganjuran program yang berlangsung seawal pukul 7.30 pagi hingga 11.00 pagi itu merupakan salah satu inisiatif Whole of Nation Approach JBS, Cawangan Daerah Tutong melalui penglibatan dan kerjasama bersama pihak bukan kerajaan dalam menjayakan program pembangunan belia di bawah kendalian JBS, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat yang sekali gus menyempurnakan sesi pelepasan dan juga penyampaian hadiah kepada para peserta pertandingan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang juga selaku Ketua Kampung Sengkarai.
Turut hadir bagi sama-sama memberikan sokongan sepanjang berlangsungnya pertandingan ialah ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.
Program D'TYF The Tutong Youth Festival : Gaya dan Stamina menyediakan platform pertandingan ketahanan stamina dan fizikal yang diinspirasikan daripada konsep pertandingan sukan HYROX, namun diubah suai mengikut kesesuaian dan tema program bagi memberikan pendedahan kepada golongan belia terhadap aktiviti fizikal berintensiti tinggi serta sukan yang lebih mencabar.
Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori 'A' bagi peserta berumur 18 hingga 25 tahun dan Kategori 'B' iaitu kategori terbuka bagi peserta berumur 26 tahun dan ke atas. Seramai 33 orang telah menyertai kedua-dua kategori tersebut secara keseluruhannya.
Program berkenaan juga bertujuan untuk menggalakkan golongan belia mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti fizikal yang mencabar, di samping menguji ketahanan stamina, kekuatan fizikal, daya tahan dan disiplin peserta.
Antara cabaran fizikal yang perlu dilalui oleh para peserta termasuk Net Crawl, Tyre Course, Barrel Carry, Barrier Crawl, Bear Crawl dan Tyre Flip. Elemen-elemen obstacle tersebut disusun bagi menguji ketahanan stamina, kekuatan, daya tahan dan keupayaan fizikal peserta sepanjang pertandingan.
Dalam pada itu, kerjasama antara JBS, Cawangan Daerah Tutong dan Shahney Event Management dalam penganjuran program ini merupakan salah satu usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama antara sektor kerajaan dan bukan kerajaan dalam menyediakan peluang pembangunan serta penglibatan yang lebih luas kepada golongan belia.