Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Darussalam Central Bank
BERAKAS, Isnin, 5 Oktober. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam (NBD), baru-baru ini menganjurkan Sustainable Finance Workshop 2026, bertempat di Mulia Hotel.
Bengkel selama dua hari ini menghimpunkan wakil-wakil dari institusi kewangan dan pihak berkepentingan awam yang berkaitan bagi memperkukuh pengetahuan dan keupayaan praktikal dalam bidang kewangan mampan.
Inisiatif ini menyokong pelaksanaan Brunei Darussalam Sustainable Finance Roadmap (SFR), khususnya Teras IV: Pembangunan Pengetahuan, Kemahiran dan Bakat.
Dengan risiko berkaitan iklim dan kemampanan yang semakin relevan terhadap kestabilan kewangan, serta rangka kerja global dan serantau yang terus berkembang, pengukuhan keupayaan teknikal pihak pengawal selia, penyelia dan pengamal industri kekal penting.
Sehubungan itu, bengkel tersebut memberi tumpuan kepada melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan keupayaan praktikal yang diperlukan untuk mengintegrasikan pertimbangan kemampanan ke dalam dasar institusi, amalan pengawalseliaan dan penyeliaan, serta aktiviti sektor kewangan secara lebih meluas.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta menerokai beberapa bidang utama, termasuk asas-asas kewangan mampan, risiko berkaitan iklim dan alam sekitar, perkembangan landskap dasar kewangan mampan, pelaporan dan pendedahan berkaitan kemampanan (‘sustainability-related reporting and disclosures’), serta instrumen dan amalan pasaran kewangan mampan.
Bengkel tersebut turut memberikan peluang kepada para peserta untuk bertukar pandangan dan berkongsi perspektif mengenai aspek praktikal serta cabaran yang dihadapi dalam memajukan kewangan mampan di NBD.
Dalam ucapan alu-aluan Penolong Pengarah Urusan (Perkembangan and Pengawasan), BDCB, Dayang Hajah Sufinah binti Haji Sahat, beliau menekankan peranan penting sektor kewangan dalam menyokong peralihan NBD ke arah ekonomi yang lebih mampan serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Beliau turut menggariskan kepentingan memperkukuh keupayaan sektor kewangan dalam menangani isu-isu kemampanan yang semakin meningkat, serta menyokong pelaksanaan SFR secara berterusan.
Bengkel tersebut dikendalikan oleh Southeast Asia Regional Lead for Green Finance and Carbon Pricing Mechanisms di UK Foreign, Commonwealth & Development Office (FCDO), Dr. Charis Yeap.
Dalam peranan tersebut, beliau bertanggungjawab untuk menyelia perkembangan dan pelaksanaan strategi serantau, di samping menerajui program serta inisiatif dasar yang bertujuan untuk memperkukuh sistem kewangan hijau dan memperkasa pembiayaan bagi projek hijau serta projek peralihan di seluruh Asia Tenggara.
Berlandaskan kepakaran dan pengalaman beliau di peringkat serantau, Dr. Yeap telah berkongsi pandangan serta pendekatan praktikal bersama para peserta berhubung perkembangan dan pelaksanaan rangka kerja, instrumen serta amalan pasaran kewangan mampan.
Beliau turut mengetengahkan peluang yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh peranan sektor kewangan dalam menyokong proses peralihan serta perkembangan ekonomi yang mampan.
Sustainable Finance Workshop 2026 mencerminkan kerjasama berterusan antara BDCB dan British High Commission di Bandar Seri Begawan dalam memajukan kewangan mampan di NBD.
Berikutan siri kerjasama pembangunan kapasiti terdahulu antara kedua-dua institusi pada tahun 2021 dan 2022, bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan keupayaan institusi dalam mendukung objektif SFR.
Untuk maklumat lanjut mengenai SFR, sila layari laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’ atau ikuti BDCB di Instagram di ‘@centralbank.brunei’.