Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji (JUH) memaklumkan bahawa Pemeriksaan Kesihatan (Perjumpaan Doktor) bagi bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Fardu Haji Musim Haji Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi akan diadakan bermula Isnin, 5 Oktober 2026.
Bagi Daerah Temburong di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Bangar pada 5 Oktober 2026 bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.15 tengah hari. Sementara, Daerah Tutong di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah pada 6 Oktober dan 7 Oktober 2026 bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.15 tengah hari dan disambung semula pukul 1.30 petang hingga 4.30 petang.
Daerah Belait di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait pada 8 Oktober dan 10 Oktober 2026 bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.15 tengah hari dan disambung semula pukul 1.30 petang hingga 4.30 petang.
Bagi Daerah Brunei dan Muara di Pusat Amal Cerah Sejahtera, Kampung Belimbing, Subok, Mukim Kota Batu (seberang Taman Riadah Tasik Sarubing) bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.15 tengah hari dan disambung semula pukul 1.30 petang hingga 4.30 petang.
Bakal jemaah haji adalah dikehendaki untuk hadir menjalani Pemeriksaan Kesihatan tersebut pada tarikh dan tempat yang telah diaturkan dengan membawa bersama Kad Pengenalan Pintar, Kad Bru Hims, Buku Rekod Kesihatan dan Panduan Kesihatan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (jika ada) serta Buku Suntikan berwarna kuning (jika ada).
Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus ke JUH, KHEU melalui talian +673 2384478 atau e-mel juh.kheu@mora.gov.bn.