BBC adakan Acara Sambutan Warga Emas

6 Okt 2026 - 5:49am

Berita dan Foto : Bersatu Bikers Club

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Bersatu Bikers Club (BBC) Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Acara Sambutan Warga Emas bagi ahli BBC yang masih aktif semenjak bulan Mei 2025 yang lalu sehingga sekarang. Acara tersebut diadakan di Tee Box dan Lada Hijau, RBA Golf Club, baru-baru ini.

Hadir pada acara tersebut ialah Yang Dipertua, BBC 10 Awang Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi dan Timbalan Yang Dipertua, BBC 21 Pengiran Mohd. Aderus bin Pengiran Haji Tengah.

Juga hadir, Setiausaha I, BBC 18 Pengiran Jaya bin Pengiran Haji Bakar; Setiausaha II, Dayang Sarinah binti Zainal Abidin dan Ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi, Ahli Jawatankuasa Pengurusan serta ahli warga emas yang diraikan serta ahli-ahli BBC yang lain.

Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh BBC 1 Awang Haji Mustapa bin Haji Abd. Kahar yang merupakan seorang perintis dan Yang Dipertua Pertama BBC.

Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Dipertua BBC yang menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah dan rahmat serta izin jua maka BBC dapat mengadakan acara dengan menghimpunkan semua ahli warga emas semula di dalam satu ruang yang amat harmoni. Beliau juga sangat mengalu-alukan kehadiran mereka dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.

Acara juga diserikan dengan penyampaian cenderahati kenangan kepada 24 ahli warga emas yang hadir sebagai tanda peringatan dan hormat kepada mereka yang telah melimpasi usia 60 tahun selepas 1 Oktober. Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh BBC 94 Awang Qadrullah bin Haji Abdul Rahman.