Oleh : Khartini Hamir
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Ahad, 4 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum selaku Jawatankuasa Acara-acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026, pada petang tadi mengadakan Kejohanan Tenpin Bowling sempena Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 bertempat di Golden Bowling, The Airport Mall.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Kejohanan dibahagikan kepada empat kategori, iaitu Kategori VIP Lelaki dengan penyertaan seramai 23 peserta, Kategori VIP Perempuan dengan sembilan peserta, Kategori Berpasukan Lelaki disertai 36 pasukan, dan Kategori Berpasukan Perempuan dengan penyertaan 40 pasukan.
Penyertaan bagi kejohanan berkenaan telah dibukakan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan termasuk tenaga pengajar yang sedang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) khususnya dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Juara pertandingan bagi Kategori VIP Lelaki disandang oleh Dr. Mohamad Khairul bin Haji Matusin, manakala naib juara diraih oleh Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, sementara tempat ketiga ialah Awang Julaihi bin Mohamad.
Sementara juara bagi Kategori VIP Perempuan pula disandang oleh Dayang Hajah Mastura binti Haji Sulaiman, manakala naib juara ialah Pengiran Dr. Seri Rahayu binti Pengiran Ya'akub, sementara tempat ketiga milik Dayang Hajah Joanna binti Haji Yacob.
Juara pertandingan bagi Kategori Berpasukan Lelaki pula disandang oleh JPI Bowlers, manakala naib juara milik Bowling 3 Rasa, sementara tempat ketiga ialah The 10th Pin.
Sementara juara bagi Kategori Berpasukan Perempuan disandang oleh An Najaah Rollers, manakala naib juara milik Pin Dolls, dan tempat ketiga diberikan kepada UBD Srikandi Strikers.
Kejohanan Tenpin Bowling ini merupakan salah satu aktiviti sukan dan riadah yang dianjurkan untuk menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026.
Antara tujuan kejohanan berkenaan diadakan adalah untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan dan KHEU bergiat aktif serta berdaya saing dalam sukan. Selain itu, kejohanan berkenaan juga diharap dapat memupuk semangat harmoni dan silaturahim dalam kalangan kedua-dua kementerian berkenaan.