Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2026 buka tirai

10 Okt 2026 - 6:10am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Belia dan Sukan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. - Kejohanan Liga Super Sepak Takraw (LSST) TAIB 2026 memulakan tirainya hari ini dengan saingan Liga Pusingan Awal bagi Kategori Liga Amatur yang melibatkan 16 perlawanan bertempat di Dewan Utama, Kompleks Sukan Sungai Kebun.

Kejohanan ini akan berlangsung selama empat minggu berturut-turut pada setiap Jumaat dan Ahad, bermula 9, 11 dan 16 Oktober 2026 bagi Kategori Liga Amatur. Manakala bagi Kategori Liga Perdana akan bermula pada 18, 23 dan 30 Oktober 2026 di Dewan Utama, Kompleks Sukan Sungai Kebun.

Sementara itu, Majlis Pembukaan Rasmi akan diadakan pada Ahad, 18 Oktober 2026 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang pula akan diadakan pada 1 November 2026 juga bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Penganjuran Kejohanan LSST buat kali keempat ini mempertandingkan dua kategori iaitu Liga Amatur dan Liga Perdana yang akan melibatkan seramai 28 pasukan bagi Liga Amatur dan 12 pasukan bagi Liga Perdana.

Kejohanan LSST TAIB 2026 merupakan anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Perbadanan TAIB selaku penaja utama liga.

Matlamat utama kejohanan ini adalah untuk mencari bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam program pembangunan atlet, pelapis dan pemain kebangsaan, dan seterusnya sebagai promosi bagi menarik minat orang ramai untuk berkecimpung dalam Sukan Sepak Takraw serta sebagai Whole of Nation Approach iaitu penglibatan beberapa agensi untuk memainkan peranan masing-masing dalam membawa warga menuju budaya hidup sihat, di samping menghidupkan semula sukan tradisional Sepak Takraw yang telah lama bertapak di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai dialu-alukan hadir bagi memberikan sokongan dan memeriahkan Kejohanan LSST TAIB 2026, termasuk acara-acara perlawanan, Majlis Pembukaan Rasmi, serta Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Hadiah. Masuk adalah percuma.