Pemantauan pasca pasaran pastikan produk kesihatan patuhi keperluan kawal selia

13 Okt 2026 - 6:34am

Siaran Akhbar : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. - Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, terus melaksanakan aktiviti pemantauan pasca pasaran (post-market surveillance) bagi memastikan produk kesihatan (ubat-ubatan, ubat tradisional dan suplemen kesihatan serta produk kosmetik) yang dibekalkan dan dijual di Negara Brunei Darussalam (NBD) mematuhi keperluan kawal selia yang berkaitan.

Dari Januari hingga September 2026, sebanyak 29 denda kompaun berjumlah BND18,000 telah dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan produk-produk kesihatan yang melibatkan seorang individu dan 28 buah syarikat.

Aktiviti penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan melalui pemeriksaan rutin, pemantauan pasaran, penyiasatan susulan terhadap aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai, serta pemantauan produk kesihatan yang diiklankan dan dijual melalui platform media sosial dan atau dalam talian.

Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan denda kompaun terhadap individu dan syarikat yang melanggar Akta Ubat, Penggal 285 dan peraturan-peraturan yang berkaitan, termasuk Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 adalah seperti berikut, iaitu menjual atau membekalkan produk ubat tanpa lesen yang berkenaan; menjual produk kesihatan yang dicemari dengan bahan aktif farmaseutikal yang tidak diisytiharkan atau bahan terlarang; menjual atau membekalkan produk ubat yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat NBD; menjual produk kosmetik yang tidak dinotifikasikan kepada Kementerian Kesihatan; dan menjual produk kosmetik yang tidak memenuhi keperluan pelabelan yang ditetapkan.

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada semua pengimport, pemborong dan peniaga, termasuk penjual dalam talian bahawa mereka bertanggungjawab untuk memastikan produk kesihatan mematuhi keperluan dan syarat-syarat yang berkaitan sebelum produk berkenaan diimport, diiklankan, dibekalkan atau dipasarkan di NBD.

Produk ubat hendaklah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat NBD, Kementerian Kesihatan sebelum dibenarkan untuk diimport dan dijual di NBD; produk kosmetik hendaklah dinotifikasi kepada Pihak Berkuasa Kawalan Ubat NBD, Kementerian Kesihatan sebelum dipasarkan; dan ubat tradisional dan suplemen kesihatan hendaklah mematuhi Garis Panduan bagi Ubat Tradisional dan Suplemen Kesihatan yang berkuat kuasa pada masa ini, termasuk keperluan berkaitan bahan-bahan, pelabelan dan tuntutan produk.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika membeli produk kesihatan, khususnya melalui platform dalam talian dan media sosial.

Pengguna dinasihatkan supaya mengelakkan daripada membeli produk yang diperoleh daripada sumber yang tidak diketahui atau tidak boleh dipercayai, produk yang tidak mempunyai pelabelan yang betul serta produk yang membuat tuntutan berlebihan seperti ‘hasil serta-merta’, ‘dijamin sembuh’ atau ‘tiada kesan sampingan’.

Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi sebelum menggunakan sebarang produk kesihatan, khususnya jika mempunyai masalah kesihatan sedia ada, sedang mengambil ubat-ubatan lain, mengandung atau menyusukan anak.

Sesiapa yang mengalami sebarang kesan yang tidak diingini selepas menggunakan produk kesihatan hendaklah menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat perubatan dengan segera.

Kementerian Kesihatan juga menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang penjualan produk kesihatan yang disyaki menyalahi undang-undang, tercemar atau tidak mematuhi keperluan yang ditetapkan. Maklumat yang diberikan oleh orang ramai akan membantu Kementerian Kesihatan dalam usaha berterusan untuk melindungi kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh aktiviti pemantauan, termasuk pemantauan pasaran secara fizikal dan dalam talian, bagi memastikan produk kesihatan yang terdapat di NBD adalah selamat, berkualiti dan dibekalkan mengikut peraturan dan perundangan yang berkaitan.

Untuk maklumat lanjut atau melaporkan produk kesihatan yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian +673 2393301 sambungan 208; menghantar e-mel kepada ‘pharmacy.enforcement@moh.gov.bn’; berjumpa terus dengan pegawai di Bahagian Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong ‘A’; atau menghubungi Talian Darussalam 123.