Pertukaran pandangan mengenai tadbir urus baik perkukuh kerjasama serantau

13 Okt 2026 - 6:41am

Siaran Akhbar dan Foto : Institut Perkhidmatan Awam

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. – Program Pembangunan Kepimpinan Brunei Darussalam-Malaysia-Singapura (LDP) Kali Ke-17 telah bermula hari ini dengan Majlis Pembukaan yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba, di sini.

Hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Norfarizal bin Othman.

Turut hadir, Pengarah IPA, Dr. Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh.

Sementara itu, Dr. Norfarizal dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa kita kini berada dalam era teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), sedang mengubah cara kerajaan menyampaikan perkhidmatan, melindungi rakyat dan menangani cabaran yang merentasi sempadan negara.

Jelasnya lagi, untuk mencorak masa depan, kita perlu melaksanakannya dengan keberanian, semangat kerjasama dan berpandangan jauh.

Tambahnya, sepanjang peringkat pembukaan program di Negara Brunei Darussalam (NBD) ini, sesi-sesi yang telah dirancang bertujuan untuk memberikan para peserta perspektif yang menyeluruh mengenai keutamaan strategik negara serta para peserta berpeluang untuk mendengar dan berbincang mengenai pembaharuan perkhidmatan awam menyokong Wawasan Brunei 2035, serta Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDGs).

"Saya difahamkan bahawa ‘biskita’ juga berpeluang berinteraksi dengan pihak Jabatan Tenaga dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi mendalami inisiatif serta sasaran tenaga boleh diperbaharui, di samping membincangkan pelan yang baru dilancarkan, iaitu Digital Brunei 2030 : The Digital Brunei Transformation Plan, iaitu pelan transformasi digital negara bagi lima tahun yang menetapkan hala tuju pembangunan digital negara sehingga 2030.

"Perkara-perkara ini amat penting bagi memastikan penyampaian Perkhidmatan Awam kepada rakyat NBD kekal relevan, mampan dan bertanggungjawab, selaras dengan panduan yang ditetapkan melalui SDGs," ujarnya lagi.

Program LDP ‘trilateral’ berkenaan akan berlangsung selama 12 hari bermula 12 hingga 23 Oktober 2026. Tema pada tahun ini, 'Charting Our Future Together', menyediakan peluang kepada para peserta daripada ketiga-tiga buah negara untuk saling menimba ilmu dan berkongsi amalan terbaik dalam membangunkan inisiatif serta dasar bagi mencapai matlamat dan agenda negara masing-masing, di samping Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Seramai 28 penjawat awam dari NBD, Malaysia dan Republik Singapura telah terpilih untuk menyertai program berkenaan.

Program tahunan berkenaan mula diperkenalkan pada November 2009 dan pada tahun ini dilaksanakan secara bersemuka selepas dua edisi berturut-turut diadakan secara maya.

Bagi edisi ke-17 berkenaan, para peserta dari Malaysia dan Republik Singapura telah berkunjung ke NBD bagi mengikuti peringkat pertama program.

Seterusnya, semua peserta akan berangkat ke Republik Singapura pada 15 Oktober 2026 bagi mengikuti peringkat kedua, sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia pada 20 Oktober 2026 bagi peringkat terakhir program.

Program berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai sistem perkhidmatan awam di NBD, Malaysia dan Republik Singapura. Di samping itu, program berkenaan juga menyediakan platform bagi para peserta untuk meneroka kepentingan bersama dan peluang kerjasama, bertukar-tukar pandangan mengenai tadbir urus yang baik serta memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga buah negara.

Melalui penglibatan dan perkongsian sepanjang program berkenaan, para peserta diharap dapat mengembangkan keupayaan kepimpinan dalam menangani cabaran serta memenuhi jangkaan masa hadapan, dengan berkesan, menterjemahkan strategi kepada tindakan, memperkukuh jaringan profesional dan mengeratkan lagi kerjasama antara ketiga-tiga buah negara.