Siaran Akhbar dan Foto : Royal Brunei Airlines
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. - Royal Brunei Airlines (RB) sedang memantau dengan teliti perkembangan situasi keselamatan dan sekuriti di Kerajaan Arab Saudi serta potensi kesannya terhadap operasi penerbangan RB.
Susulan peningkatan ketegangan baru-baru ini dan mengambil kira aspek keselamatan dan sekuriti yang berkaitan, RB mengambil langkah berjaga-jaga dengan membatalkan penerbangan BI001 (Brunei-Jeddah) dan BI002 (Jeddah-Brunei) yang dijadualkan pada 13 Oktober 2026, setelah melaksanakan penilaian yang teliti dan menyeluruh terhadap perkembangan situasi geopolitik semasa.
Keputusan berkenaan dibuat dengan mengutamakan keselamatan penumpang, anak kapal dan kakitangan operasi sebagai keutamaan tertinggi RB.
RB akan terus menilai situasi berkenaan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan. Penerbangan berjadual lain dari dan ke Arab Saudi juga masih dalam penelitian, dan sebarang keputusan operasi selanjutnya akan berpandukan penilaian risiko yang berterusan, keadaan semasa serta keperluan keselamatan penerbangan yang berkuat kuasa.
RB memahami bahawa perkembangan berkenaan mungkin menimbulkan kebimbangan dan kesulitan, khususnya kepada jemaah umrah, ahli keluarga mereka serta penumpang lain yang melakukan perjalanan antara Negara Brunei Darussalam dengan Arab Saudi.
RB kekal komited untuk memastikan para penumpang yang terjejas sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini dan akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.
Para penumpang, jemaah umrah dan orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti saluran komunikasi rasmi RB bagi mendapatkan maklumat terkini serta menyemak status penerbangan masing-masing sebelum bertolak ke lapangan terbang.
Penumpang yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan RB atau ejen pelancongan masing-masing.
RB memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan atas kesabaran, pemahaman serta kerjasama semua penumpang yang terjejas sepanjang tempoh berkenaan.