FFOC 2026 galakkan gaya hidup sihat, semangat kesukanan

5 Okt 2026 - 6:46am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, 4 Oktober, Ahad. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dengan  kerjasama Helmi Abdullah Fitness, Brunei Fitness Club (BFC) dan Passionku telah  menganjurkan Fire Fit Obstacle Challenge (FFOC) 2026, yang berlangsung di Dewan Serbaguna JBP, Jalan Landasan Lama Berakas.

Berkenan berangkat menyertai FFOC 2026 berkenaan, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi pembukaan dan seterusnya melepaskan para peserta bagi memulakan cabaran, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan. 

Acara FFOC 2026 berkenaan merupakan salah satu inisiatif untuk mempromosi gaya hidup sihat, kecergasan fizikal serta semangat kesukanan dalam kalangan orang ramai, di samping memperkukuh hubungan serta kerjasama  antara JBP dengan komuniti.

FFOC 2026 mengetengahkan konsep cabaran kecergasan berintensiti tinggi yang diinspirasikan daripada format pertandingan kecergasan moden dengan menggabungkan elemen larian, kekuatan, ketahanan fizikal, ketangkasan serta kerjasama berpasukan.

Penganjuran FFOC 2026 juga mengetengahkan elemen tugas dan peralatan kebombaan dalam beberapa cabaran yang dipertandingkan. 

Pendekatan berkenaan  bukan sahaja menjadikan pertandingan lebih unik dan mencabar, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sebahagian daripada tuntutan fizikal yang berkaitan dengan tugas seorang anggota bomba.

Antara cabaran yang disediakan termasuk 500 meter larian, Foam Run, Hose Rolling, Squat with Hose, Lunges with Hose, Sled Push, Battle Hose serta Burpees Broad Jump.

Pertandingan berkenaan dipertandingkan dalam tiga kategori, iaitu Kategori Duo Lelaki, Kategori Duo Wanita dan Kategori Duo Campuran, yang menguji keupayaan peserta dari segi kecergasan, stamina, kekuatan serta koordinasi bersama pasangan masing-masing.

Manakala pada sebelah petangnya, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh, telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi kategori - kategori yang dipertandingkan.