Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Tangkap Layar RTBGo, Tangkap Layar Instragram Malaysian Football League
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Isnin, 12 Oktober. – Jorday Murray muncul wira bagi DPMM FC selepas gol tunggalnya pada separuh masa pertama membawa DPMM FC mara ke separuh akhir Piala FA selepas menyingkirkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
DPMM FC mengesahkan kemaraan menerusi kemenangan agregat 4-3 selepas menundukkan KL City FC, 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Keputusan berkenaan menyusuli keputusan seri 3-3 pada perlawanan pertama, 20 September 2026 lalu.
Lebih membanggakan, skuad kendalian Jamie McAllister berkenaan berjaya menyingkirkan KL City FC di gelanggang lawan meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua selepas Tommy Mawat Bada dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama selepas mengasari Fazrul Amir Md. Zaman.
Walau bagaimanapun, KL City FC tampil lebih agresif pada babak kedua bagi mencari gol penyamaan, namun beberapa peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan oleh jentera serangan yang diterajui Paulo Josue.
Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh tetap buntu menembusi benteng pertahanan DPMM FC yang kekal utuh sehingga wisel penamat bagi memastikan kemenangan 1-0.
Kemenangan tipis berkenaan sudah memadai buat DPMM FC untuk menyingkirkan KL City FC sekali gus mengesahkan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik Piala FA.
Bagaimanapun, cabaran lebih besar menanti apabila DPMM FC bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim FC (JDT) pada aksi separuh akhir bagi merebut tempat ke pentas final.