DPMM FC II kalahkan MS ABDB, 4-2

10 Okt 2026 - 6:14am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

JERUDONG, Jumaat, 9 Oktober. - Pasukan DPMM FC II terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super Brunei 2026/2027 selepas menewaskan pasukan MS ABDB dengan keputusan 4 - 2 dalam perlawanan yang berlangsung di Jerudong Mini Stadium, di sini.

Pada babak pertama DPMM FC II membuka tirai jaringan hasil sepakan daripada Jefferson Silva Dos Santos.

Selang beberapa minit kemudian, MS ABDB berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh ketua pasukan, 51928 SLD Muhammad Saiful Ammar Haji Idris.

DPMM FC II kembali mendahului perlawanan apabila Kaua Santana Santos Da Silva menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru, sekali gus menjadikan kedudukan 2 - 1.

Memasuki babak kedua, MS ABDB bangkit menyamakan kedudukan 2 - 2 menerusi jaringan 54312 LS Mohd. Hadif Aiman Haji Adanan pada minit-minit awal permainan.

Hantaran lintang pasukan DPMM FC II masuk ke kotak penalti MS ABDB membuahkan hasil apabila Jefferson Silva Dos Santos menanduk bola masuk ke gawang, menjadikan jaringan 3 - 2.

Pemain pertukaran DPMM FC II, Mohammad Sahfiq Hidayat Al-Azim Sahrizam tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol keempat DPMM FC II, hasil daripada sepakan penjuru dan bola ditanduk masuk.

Kedudukan kekal 4 - 2 sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus memastikan DPMM FC II meraih kemenangan dalam aksi berkenaan dan terus berada di tangga teratas Liga Super Brunei 2026/2027.