BELTS juara Kejohanan Bola Jaring Korporat Pesta Netball Kitani 2026

13 Okt 2026 - 6:15am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam

 

BERAKAS, Isnin, 12 Oktober. – Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam (BNA) meneruskan usaha mengembangkan dan memeriahkan sukan bola jaring di negara ini melalui Kejohanan Bola Jaring Korporat, yang merupakan antara aktiviti dalam siri keempat Pesta Netball Kitani 2026, yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.

Kejohanan berkenaan melibatkan 12 pasukan korporat yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan A terdiri daripada BELTS mewakili Brunei Engineering, Logistics & Training Solutions Sdn. Bhd.; PA X SHENA daripada Petroleum Authority Brunei Darussalam dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA); BEDB daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB); imagiNets daripada Imagine Sdn. Bhd.; Healing Hoopers daripada JPMC; serta Dynamik X Peak, gabungan Dynamik Technologies Sdn. Bhd. (Dynamik) dan Peak Performance Sdn. Bhd.

Sementara itu, Kumpulan B pula menampilkan BBRC daripada Bank Baiduri Sdn. Bhd.; Ignite daripada Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI); BIBD daripada Bank Islam Brunei Darussalam; SPSS Netters daripada Setia Protective Security Services Sdn. Bhd.; MMS Wave Warriors daripada Muara Maritime Services Sdn. Bhd.; serta UNN daripada Unified National Networks Sdn. Bhd.

Penyertaan sektor korporat ini memberikan peluang kepada warga kerja daripada pelbagai organisasi untuk menyertai aktiviti sukan, di samping mengeratkan hubungan dan memupuk semangat berpasukan di luar persekitaran kerja.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara kemuncak dan perlawanan akhir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Interim Dynamik, Pengiran Noreen Afiza binti Pengiran Dato Paduka Haji Md Zain.

Turut hadir ialah Presiden BNA, Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili, serta Ahli Jawatankuasa BNA dan Jawatankuasa Pesta Netball Kitani 2026.

Pada kejohanan tersebut, pasukan BELTS muncul johan diikuti oleh Healing Hoopers selaku naib johan, manakala tempat ketiga bersama dimenangi oleh SPSS Netters dan BIBD.

Pemain Terbaik Kejohanan Korporat diberikan kepada Nur Fazrena binti Haji Tamit dari Dynamik X Peak, sementara Pemain Terbaik Perlawanan Akhir pula diberikan kepada Nur Sakinah binti Haji Mahari dari BELTS.

Manakala pasukan MMS Warrior Waves dari Maritime Muara Services dipilih sebagai Pasukan Paling Gigih (Most Persistence Team).

Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan BNA sebagai badan induk sukan bola jaring di Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam menyediakan peluang penyertaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Melalui program yang merangkumi pembangunan pemain, pengadil, pegawai serta aktiviti komuniti, BNA berusaha memastikan minat terhadap bola jaring terus berkembang di negara ini.

Siri keempat Pesta Netball Kitani 2026 telah dimulakan dengan Netball Clinic yang telah diadakan pada 14 dan 15 Ogos dan ini memberikan pendedahan kepada kanak-kanak dan pemain-pemain muda mengenai asas serta kemahiran bola jaring.

Ini diikuti dengan Kejohanan Bola Jaring Bawah 21 Tahun (U21) pada 22 Ogos, sebelum diteruskan dengan Junior Umpires Sharing Session pada 2 Oktober dan Walking Netball pada 4 Oktober, kesemuanya sebahagian daripada usaha BNA untuk melibatkan pemain dan masyarakat dalam pelbagai aspek sukan bola jaring.

Rangkaian aktiviti tersebut juga menunjukkan bahawa peranan BNA bukan hanya tertumpu kepada penganjuran kejohanan, tetapi turut merangkumi pembangunan akar umbi, pengembangan kemahiran pengadilan dan penyertaan komuniti.

Pendedahan kepada sukan sejak usia muda penting dalam mengenal pasti serta menggilap bakat baharu, manakala program seperti Walking Netball dan kejohanan korporat membuka ruang kepada penyertaan daripada kumpulan masyarakat yang lebih luas.

Menurut BNA, kesinambungan aktiviti seumpama ini penting bagi memastikan sukan bola jaring terus mempunyai platform yang aktif dan tersusun di negara ini, selain membina komuniti yang mempunyai minat dan penglibatan berterusan dalam sukan berkenaan.

Siri Pesta Netball Kitani 2026 dijangka diteruskan dengan Kejohanan Bola Jaring Wanita Terbuka pada November 2026, yang akan menjadi antara acara seterusnya dalam kalender aktiviti BNA tahun ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai aktiviti BNA melalui laman Instagram rasmi ‘@bruneinetballofficial’.

Laman berkenaan turut menjadi saluran BNA untuk berkongsi maklumat mengenai program, kejohanan dan aktiviti bola jaring yang dianjurkan.