Care4U : Inovasi digital memperkasa saringan awal keperluan pembelajaran kanak-kanak

23 Nov 2026 - 9:59am

KEPRIHATINAN seorang bapa terhadap anaknya yang menghidap autisme telah mencetuskan idea untuk membangunkan Care4U, sebuah platform saringan digital awal disleksia yang berpotensi membantu mengenal pasti kecenderungan serta corak tindak balas kognitif kanak-kanak. Inovasi ini tercetus daripada pengalaman peribadi yang mendorong usaha mencari kaedah saringan yang lebih mudah diakses, mesra kanak-kanak dan berpatutan.

Pencipta Care4U, Pengiran Fairuz Zakry bin Pengiran Haji Rosley dari CogniCare Technologies Sendirian Berhad menjelaskan bahawa proses saringan awal yang lazimnya dilaksanakan di pusat kesihatan, sekolah dan pusat intervensi boleh menjadi cabaran kepada ibu bapa. Kaedah penilaian tradisional yang menggunakan borang secara manual bukan sahaja memerlukan masa dan kos tertentu, malah berpotensi menimbulkan tekanan kepada kanak-kanak semasa menjalani penilaian.

Dari pengalaman tersebut, Care4U dibangunkan sebagai platform digital yang memanfaatkan teknologi bagi menyediakan kaedah saringan awal yang lebih interaktif. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan akses kepada perkhidmatan saringan, sekali gus membantu ibu bapa dan pendidik mengenal pasti keperluan kanak-kanak untuk mendapatkan penilaian serta rujukan lanjut daripada pakar.

\

Gabungan teknologi dalam pembangunan Care4U

\

Pembangunan Care4U mengambil masa kira-kira empat hingga lima bulan secara intensif sehingga berjaya menghasilkan prototaip (prototype) yang berfungsi. Proses tersebut melibatkan penyelidikan dan pembangunan, pembentukan kerangka saringan, pembinaan sistem serta penghasilan laporan analisis secara automatik.

Platform ini menggabungkan tiga modul utama, iaitu ujian visual, pendengaran dan bacaan. Ketiga-tiga modul tersebut direka bagi meneliti tindak balas pengguna terhadap pelbagai rangsangan. Selain itu, sistem ini dibangunkan menggunakan teknologi berasaskan Google Apps Script dan Google Sheets sebagai pangkalan data, sekali gus membolehkan pembangunannya dilaksanakan tanpa memerlukan kos pelayan yang tinggi.

Antara keunikan Care4U ialah keupayaannya merekodkan masa tindak balas pengguna dengan terperinci, termasuk tempoh tindak balas kognitif yang diukur sehingga skala milisaat (miliseconds). Maklumat ini berpotensi membantu mengenal pasti corak tindak balas tertentu, khususnya ketika kanak-kanak membezakan huruf atau unsur yang hampir serupa.

Dari segi reka bentuk, Care4U menggunakan konsep interaktif berteraskan tema angkasa lepas yang menyerupai pengalaman permainan digital. Pendekatan gamifikasi ini bertujuan mewujudkan suasana saringan yang lebih menarik dan mengurangkan kebimbangan kanak-kanak semasa menjalani ujian. Platform berasaskan web tersebut juga boleh diakses melalui telefon bimbit, tablet dan Chromebook tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi terlebih dahulu.

\

Mengatasi cabaran teknikal pembangunan sistem

\

Walau bagaimanapun, pembangunan sistem ini bukanlah tanpa cabaran. Antara isu teknikal utama yang dihadapi ialah penyelarasan data daripada ketiga-tiga modul saringan. Setiap modul mengandungi 15 soalan. Oleh itu, semua maklumat perlu direkodkan dengan tepat dalam satu rekod bagi setiap sesi ujian tanpa berlaku pertindihan data atau gangguan sistem.

Cabaran tersebut ditangani melalui penambahbaikan struktur pengenalan sesi dan kaedah navigasi sistem. Usaha ini penting bagi memastikan data yang dikumpulkan dapat disusun dengan teratur, di samping membolehkan laporan analisis dapat dijana dengan lancar dan tepat.

Pada peringkat awal, Care4U dibangunkan untuk kegunaan peribadi. Namun demikian, potensi platform ini mendorong peluasan sasaran penggunanya kepada kanak-kanak, guru pendidikan khas, ibu bapa serta institusi pendidikan dan kesihatan.

Guru boleh memanfaatkan platform ini bagi membantu proses saringan awal di bilik darjah, manakala ibu bapa boleh mengakses modul asas secara percuma bagi mendapatkan gambaran awal tentang respons anak sebelum mendapatkan khidmat profesional.

Bagi institusi pendidikan dan kesihatan, Care4U berpotensi menjadi alat sokongan dalam proses penilaian awal. Penggunaan teknologi digital ini juga dijangka dapat membantu menjimatkan masa dan kos proses saringan dengan anggaran penjimatan sehingga 90 peratus seperti yang dinyatakan oleh pembangunnya.

\

Pengiktirafan menerusi BICTA

\

Potensi inovasi tersebut turut terserlah menerusi penyertaan dalam Brunei ICT Awards (BICTA) apabila Care4U berjaya meraih gelaran juara dalam kategori Penyelidikan dan Pembangunan (Research and Development).

Persediaan untuk menyertai pertandingan tersebut tertumpu pada aspek kestabilan prototaip, ketetapan pengukuran masa tindak balas serta analisis corak kognitif pengguna. Aspek-aspek berkenaan diberikan perhatian bagi memastikan platform yang dibangunkan dapat berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan penilaian.

Bagi Pengiran Fairuz Zakry, pengiktirafan tersebut membawa makna yang mendalam kerana idea berkenaan bermula daripada pengalaman peribadi beliau sebagai seorang bapa kepada anak yang menghidap autisme. Beliau turut berasa bangga apabila anaknya, Awangku Warsyan Habibullah bin Pengiran Fairuz Zakry berpeluang menghadiri sesi pembentangan di hadapan barisan juri dengan penuh keyakinan dan begitu tenang. Pengalaman tersebut menjadi dorongan untuk beliau terus mengembangkan inovasi berkenaan demi memberikan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.

Penyertaan dalam BICTA juga memberikan pendedahan tentang kepentingan keselamatan data serta keupayaan sistem untuk dikembangkan pada skala yang lebih besar. Pengalaman tersebut menjadi asas kepada perancangan seterusnya bagi memperkukuh pembangunan Care4U agar dapat memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan.

\

Perancangan dan hala tuju masa depan

\

Pada masa hadapan, Care4U berhasrat memperkemas seni bina sistem agar berpotensi untuk diintegrasikan dengan Sistem Maklumat Pelajar di sekolah-sekolah tempatan, selain diperluas ke pasaran serantau.

Seiring dengan perkembangan tersebut, Pengiran Fairuz Zakry turut merancang untuk memperkenalkan modul saringan tambahan, termasuk ujian berkaitan masalah tumpuan melalui Continuous Performance Test (CPT), serta pendekatan interaktif untuk meneliti respons sosial dan emosi kanak-kanak.

Perancangan ini bertujuan menjadikan Care4U sebuah platform saringan awal digital yang lebih menyeluruh bagi memenuhi pelbagai keperluan perkembangan kanak-kanak. Dengan adanya penambah modul tersebut, platform ini diharapkan dapat menawarkan lebih banyak pilihan saringan awal yang bersesuaian dengan keperluan pengguna.

Secara keseluruhannya, Care4U mencerminkan bagaimana pengalaman peribadi, inovasi, teknologi dan keprihatinan sosial dapat digabungkan untuk menghasilkan penyelesaian yang bermanfaat. Walaupun platform ini berfungsi sebagai alat saringan awal dan bukannya pengganti diagnosis profesional, potensinya dalam membantu mengenal pasti keperluan kanak-kanak wajar diberikan perhatian.

Usaha ini selaras dengan aspirasi untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang sewajarnya melalui pengesanan awal, sokongan yang bersesuaian dan akses kepada perkhidmatan profesional tanpa mengira cabaran yang dihadapi.

Dengan pembangunan berterusan dan kerjasama pelbagai pihak, inovasi ini berpotensi menjadi antara pemangkin kepada persekitaran pendidikan dan sokongan perkembangan kanak-kanak yang lebih inklusif di Negara Brunei Darussalam.