Usahawan mainkan peranan membangunkan perniagaan berdaya saing

11 Sep 2026 - 7:06am

Oleh : Pg Vivy Malessa Pg Ibrahim

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Khamis, 10 September. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata bahawa dalam usaha Negara Brunei Darussalam (NBD) meneruskan agenda kepelbagaian ekonomi serta merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035, pembangunan sektor swasta yang lebih kukuh, dinamik dan berdaya saing kekal penting bagi masa depan ekonomi negara ini.

Yang Berhormat menegaskan perkara itu semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah  Anugerah Perniagaan Shell  LiveWire Brunei Edisi  Ke-19 yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, di sini.

Menurut Yang Berhormat, para usahawan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan perniagaan yang berdaya saing, mewujudkan peluang serta menyumbang nilai yang lebih besar kepada ekonomi kita.

Namun demikian, kata Yang Berhormat, membina dan mengekalkan perniagaan yang berjaya merupakan satu perjalanan yang berterusan.

Para usahawan, jelas Yang Berhormat lagi, perlu bersedia untuk memperkukuh operasi, memahami keperluan pelanggan, mengurus kewangan secara bertanggungjawab serta melabur dalam pembangunan tenaga kerja.

Yang Berhormat seterusnya menambah, cabarannya adalah untuk terus berkembang, mencipta nilai dan mengekalkan daya saing. Ini bermakna para usahawan perlu bersedia untuk melakukan penambahbaikan, menerima pakai teknologi baharu serta bertindak dengan pantas terhadap perubahan keperluan pasaran.

Di samping itu, Yang Berhormat juga menjelaskan, bagi perniagaan yang mempunyai keupayaan dan aspirasi untuk berkembang ke skala yang lebih besar, pasaran serantau dan antarabangsa menjadi semakin penting.

Jelas Yang Berhormat lagi, ASEAN, khususnya, menyediakan peluang kepada perniagaan kita untuk mengakses pasaran yang jauh lebih luas serta mengambil bahagian dalam rantaian nilai yang lebih besar. Walau bagaimanapun, memasuki pasaran baharu bukan sekadar menawarkan produk atau perkhidmatan yang sama di negara lain.

“Perniagaan perlu memahami kehendak dan jangkaan pelanggan yang berbeza, mematuhi peraturan serta piawaian antarabangsa, mengekalkan konsistensi dan kualiti, serta membangunkan rangkaian pengedaran dan perkongsian perniagaan yang boleh dipercayai.

“Peluang-peluang ini juga hadir dengan persaingan yang lebih sengit serta jangkaan yang lebih tinggi. Oleh itu, perniagaan kita perlu bersedia untuk bersaing dengan menawarkan kualiti, menerima pakai teknologi, membina daya tahan serta mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan,” ujar Yang Berhormat menjelaskan lagi.

Yang Berhormat seterusnya menambah, atas sebab inilah pendekatan  Whole of Nation kekal penting. Di  Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dan bersama  Brunei Economic Development Board (BEDB), Yang Berhormat percaya kita mempunyai peranan penting untuk bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, sektor perniagaan, para pelabur, institusi kewangan serta rakan kongsi industri bagi menyokong pertumbuhan perusahaan dan memperkukuh persekitaran perniagaan NBD.

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, salah satu contoh ialah kerjasama antara Shell LiveWire Brunei, BEDB  dan  Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) menerusi  Startup673 Roadmap, yang menyediakan laluan yang lebih jelas dan terselaras bagi syarikat pemula niaga untuk berkembang dan mencapai tahap seterusnya.

“Matlamat kita adalah untuk melihat lebih banyak perniagaan tempatan menjadi perusahaan yang lebih mampan dan berdaya saing, yang mampu mewujudkan peluang, berkembang ke pasaran baharu serta menyumbang nilai yang lebih besar kepada ekonomi NBD,” terang Yang Berhormat.

Dalam masa yang sama jelas Yang Berhormat, sokongan daripada kerajaan dan rakan kongsi ekosistem perlu disertai dengan komitmen daripada pihak perniagaan itu sendiri. Para usahawan perlu mengambil tanggungjawab untuk mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka dengan memperkukuh tadbir urus, memahami kedudukan kewangan dan prestasi perniagaan, mendengar keperluan pelanggan serta terus meningkatkan piawaian masing-masing.

Perniagaan yang berjaya ialah perniagaan yang mampu belajar daripada cabaran, menyesuaikan diri dan terus bergerak ke hadapan dengan kejelasan hala tuju, disiplin serta keazaman.