Usaha memperkukuh tadbir urus syariah dalam kewangan Islam

17 Sep 2026 - 5:31am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Brunei Institute of Leadership and Islamic Finance (BILIF) pagi ini menganjurkan Syariah Advisory Forum (SAF) 2026 bertempat di Radisson Hotel, di sini. Forum tersebut telah dihadiri oleh peserta tempatan dan serantau yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Forum yang bertema ‘Syariah Governance : Embracing Digital Financial Solutions and Financial Innovation’ ini menghimpunkan pakar-pakar syariah, pengamal industri serta pakar dalam bidang berkaitan untuk berkongsi pandangan dan bertukar-tukar idea mengenai usaha memperkukuh tadbir urus syariah dalam kewangan Islam khususnya dalam aspek kewangan digital dan inovasi kewangan.

Forum ini turut membincangkan cabaran baharu dalam pematuhan amalan kewangan selaras dengan Maqasid Al-Syariah.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Afero Eswandy Mohamad antara lain menekankan kepentingan tadbir urus Syariah yang kukuh dan responsif dalam memastikan industri kewangan Islam terus berkembang seiring dengan perubahan teknologi dan inovasi kewangan.

Acara diteruskan dengan pembentangan khas bertajuk ‘Ta’widh & Gharamah in Islamic Finance : Revisiting the Foundations and Contemporary Industry Expectations’ yang disampaikan oleh Associate Dean for Students and Internationalization, INCEIF University, Malaysia, Profesor Dr. Aishath Muneeza.

Pembentangan tersebut diikuti dengan sesi perbincangan panel bertajuk ‘Ta’widh & Gharamah : Contemporary Challenges in Syariah Advisory and Industry Practice’, yang menampilkan Timbalan Pengerusi, Badan Penasihat Syariah Kumpulan BIBD, Dr. Awang Haji Mohd. Aidil Yusrie bin Haji Shari; Profesor Dr. Aishath Muneeza; Profesor. Dr. Sharifah Faigah binti Syed Alwi, Professor Arshad Ayub, Graduate Business School, Universiti Teknologi MARA, Malaysia serta Shakir Jakhura, Syariah Department, Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Bahrain.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Executive Officer, Syariah Department I Secretariat & Governance, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Dayang Muniirah binti Awang Mahali. Forum tersebut turut mengadakan sesi dialog bertajuk ‘Building Future Syariah Talent : From Learning and Mentoring to Future Readiness’.

Sesi ini menghimpunkan para alumni Fiqh Mu'amalat Professional Programme (FMPP) sebagai ahli panel, iaitu Senior Manager, Syariah Finance, Brunei Darussalam Central Bank, Awang Muhammad Khairul Anuar bin Haji Ahmad; Manager, Wealth Management, Retail Banking Division, Baiduri Bank, Dayang Siti Aminah binti Haji Abdul Rahman dan Head of Pre-Syariah Review, Syariah Division, BIBD, Dayangku Hajah Siti Khadijah binti Pengiran Haji Ahmad.

Sesi dialog tersebut mengetengahkan kepentingan pembelajaran berterusan, bimbingan dan pembangunan profesional dalam membentuk profesional Syariah yang berkemahiran serta bersedia menghadapi keperluan dan cabaran masa hadapan. Sesi dikendalikan oleh Pemangku Pengurus, BILIF, Awang Mohammad Ashri bin Sharbini.

Forum tersebut diakhiri dengan sesi perbincangan panel ‘Evolving Financial Solutions : Syariah Perspectives and Industry’, yang dikendalikan oleh Manager, Syariah Finance, BDCB, Dayang Bibi Amadah binti Awang Haji Rusli.

Sesi tersebut telah dibincangkan oleh Professor di Institute of Islamic Banking and Finance, International Islamic University Malaysia (IIUM), Profesor Datin Dr. Rusni Hassan; Head of Doctorate Degree in Islamic Economics, Universitas Airlangga, Indonesia, Profesor Dr. Raditya Sukmana serta Dr. Ahmad Lutfi bin Haji Abdul Razak, Member of Syariah Advisory Body, Standard Chartered Securities (B) Sdn. Bhd. sebagai ahli panel.

Sebagai sebahagian daripada forum tersebut, BILIF turut meraikan majlis graduasi para peserta daripada dua program pembelajaran profesionalnya iaitu Fiqh Mu’amalat Professional Programme (FMPP) dan Leadership in Islamic Finance and Economics (LIFE).

Pada majlis tersebut, juga menyaksikan seramai enam graduan daripada FMPP Kohort 4 dan seorang graduan daripada LIFE Common Core menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh tetamu kehormat, Timbalan Mufti Kerajaan dan Timbalan Pengerusi Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin.

FMPP merupakan program ‘signature’ BILIF yang memberi tumpuan kepada pembangunan profesional Penasihat   Syariah, di mana para peserta dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang utama perbankan dan kewangan Islam, termasuk nasihat Syariah, audit dan semakan Syariah.

Sementara itu, LIFE bertujuan untuk melahirkan pakar dalam bidang kewangan Islam dengan menyediakan laluan pembelajaran yang berstruktur dan komprehensif merangkumi sektor-sektor utama kewangan Islam seperti perbankan Islam, Takaful dan pasaran modal Islam.

BILIF, sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di negara ini, sentiasa giat menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar, dan pemacu inovasi masa depan terutamanya dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.