UNISSA hadiri ICONWAH 2026

9 Sep 2026 - 6:25am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

KAZAKHSTAN, Selasa, 8 September. - Penolong Rektor Akademik, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku wakil Rektor UNISSA, Profesor Dr. Dayang Siti Sara binti Haji Ahmad telah menghadiri The International Conference on Wasatiyah and Hikmah as Foundations of Balanced Islamic Discourse in Contemporary Societies (ICONWAH 2026) dan seterusnya membentang Kertas Ucaptama yang bertajuk ‘Representation of Islamic Moderation and Wisdom in Arabic Language Teaching Curricula in Multilingual Higher Education : A Documentary Analysis of Educational Dimensions and the Potential for Developing Balanced Religious Awareness at Universiti Islam Sultan Sharif Ali’.

Persidangan ICONWAH 2026 yang berlangsung selama dua hari di Egyptian University of Islamic Culture Nur-Mubarak, Kazakhstan, bermula 8 hingga 10 September 2026.

Persidangan ini menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pemimpin pemikir dari seluruh dunia bagi membincangkan peranan wanita dan pembangunan halal dalam kerangka Islam kontemporari.

Dengan tema ‘Wasatiyah and Hikmah as Foundations of Balanced Islamic Discourse in Contemporary Societies’ yang akan membincangkan pelbagai bidang termasuk Teologi dan Pemikiran Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Dakwah dan Pembangunan Insan, Pengajian al-Quran dan al-Hadith, Usul al-Fiqh, Falsafah dan Tasawuf Islam termasuk Pengurusan Islam, Ekonomi Islam dan Pentadbiran Islam.

Persidangan ini dianjurkan oleh Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya dengan kerjasama the Egyptian University of Islamic Culture Nur-Mubarak, Kazakhstan; UNISSA, Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar (Malaysia) dan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar (Brunei).

Persidangan ini turut memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan baharu yang sedang berkembang seperti psikoterapi Islam, pembangunan psikospiritual, kaunseling, pengurusan masjid, media dan komunikasi, pengajian dan teknologi halal, kemampanan dalam pengajian Islam, serta pemeliharaan alam sekitar.

Kemudian, persidangan ini turut menampilkan beberapa sesi perbincangan selari termasuk sesi meja bulat antara UNISSA, Negara Brunei Darussalam; Universiti Malaya, Malaysia dan di Egyptian University of Islamic Culture Nur-Mubarak, Kazakhstan yang memberi ruang kepada pertukaran pandangan rentas institusi dan negara.

Seterusnya, sesi penandatangan Letter of Intent (LoI) juga berlangsung di antara Profesor Dr. Dayang Siti Sara selaku wakil Rektor UNISSA dan Egyptian University of Islamic Culture Nur-Mubarak, Kazakhstan yang ditandatangani oleh Rektor, Profesor Madya Dr. Mohamed Wardani Abdelradi Abdallah.

Dengan persidangan dan perbincangan dua hala ini diharapkan dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan serta memberikan impak positif dan signifikan terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta menjadi pemangkin kepada perkembangan pendidikan Islam yang lebih dinamik dan berdaya saing di peringkat global.