UBD Career Fair tingkatkan kebolehpasaran graduan

3 Sep 2026 - 6:41am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUNGKU LINK, Rabu, 2 September. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini melancarkan UBD Career Fair 2026 yang Ke-11 berlangsung selama dua hari, mulai hari ini hingga 3 September 2026, bertempat di Dewan Canselor, UBD.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Siti Norashikin binti Mohd. Salleh.

UBD Career Fair 2026 yang membawa tema ‘CareerProof’ dan slogan ‘Find Where You Want to Be’ menekankan kepentingan kebolehsuaian, ketangkasan, sifat ingin tahu dan daya tahan dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Acara berkenaan menghimpunkan para majikan, rakan kongsi industri, pelajar, graduan, alumni serta orang awam, sekali gus menyediakan platform bagi para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak industri, mendapatkan gambaran mengenai keperluan dan jangkaan di tempat kerja serta meneroka peluang kerjaya yang baharu.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah (UniCareer), Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), Dr. Shariza Wahyuna binti Haji Shahrin menekankan kepentingan tema yang diketengahkan pada tahun ini.

“Menjadi ‘career-proof’ bukanlah tentang meramalkan masa depan; sebaliknya, ia adalah tentang bersedia untuk menghadapinya,” jelasnya.

Tema berkenaan mencerminkan komitmen UBD dalam menyokong pembentukan tenaga kerja yang berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Acara selama dua hari itu turut menghimpunkan hampir 50 majikan dan organisasi daripada pelbagai sektor, memberikan peluang kepada para pelajar, graduan dan peserta lain untuk berinteraksi dengan pihak industri serta memperoleh pandangan praktikal mengenai keperluan di tempat kerja.

Antara pengisian utama ialah UBD Career Dialogue 2026 yang merangkumi tiga sesi perbincangan mengenai kebolehpasaran graduan, kemahiran persediaan kerjaya bagi tenaga kerja Negara Brunei Darussalam dalam persekitaran pekerjaan yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI), serta penerokaan kerjaya di luar pekerjaan tradisional.

Dialog berkenaan menghimpunkan para pembuat dasar, pakar industri dan pihak berkepentingan utama bagi bertukar pandangan mengenai kesediaan tenaga kerja, kemahiran yang sedang berkembang serta keperluan pekerjaan yang sentiasa berubah.

Program berkenaan turut menampilkan Pameran Kerjaya dan Career Talks, termasuk sesi tertutup yang disampaikan oleh World Bank Group, yang memberikan peluang kepada para peserta untuk memperluas pemahaman mengenai trend pekerjaan semasa serta mendapatkan pandangan praktikal berkaitan pembangunan kerjaya dan kemahiran.

Melalui penganjuran UBD Career Fair 2026, UBD terus memperkukuh peranannya dalam menghubungkan institusi pendidikan tinggi dengan pihak industri, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan tenaga kerja.

Penganjuran berkenaan turut menyediakan peluang kepada para pelajar dan graduan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran, jaringan perhubungan dan keyakinan dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Di samping itu, acara berkenaan turut memperkukuh hubungan dan kerjasama yang bermakna antara UBD dengan pihak industri serta ekosistem pekerjaan secara lebih meluas.

UBD Career Fair 2026 diadakan pada 2 dan 3 September 2026, dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, bertempat di Dewan Canselor, UBD. Acara berkenaan dibukakan kepada para pelajar, graduan, alumni dan juga orang awam.