Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
TUTONG, Jumaat, 18 September. - Program Tutong Buzz terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peniaga dan orang ramai, dengan platform berkenaan bukan sahaja menjadi ruang untuk menjalankan perniagaan, malah turut dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan sampingan bagi membantu menampung keperluan keluarga.
Bagi para peniaga yang menyertai Tutong Buzz, kemudahan berniaga dengan kadar sewa yang berpatutan serta sambutan orang ramai antara faktor yang mendorong mereka untuk terus mengambil bahagian setiap kali program berkenaan diadakan.
Tutong Buzz diadakan di kawasan letak kereta Tatangan Persiaran Sungai Tutong, di sini.
Menurut Pengasas Selera Mama Kitchen, Awang Mohd. Nazib bin Nasarudin, semasa di temu bual Pelita Brunei berkata, beliau sudah menyertai Tutong Buzz berkenaan dalam setahun lebih.
Mengenai 'feedback' atau respon yang diterima daripada orang ramai, beliau menjelaskan bahawa sambutan yang diterima daripada orang ramai adalah baik dan sangat menggalakkan.
“Kalau boleh ada tempat yang sesuai bagi kemudahan peniaga dan orang ramai.
“Berniaga ini bagi membantu ekonomi dan kerana itu ikut Tutong Buzz dan juga sewa pembayaran adalah murah dan amat berpatutan,” ujarnya lagi.
Manakala bagi Pengasas Kopi Ais Gantung Viral, Dayang Mariah binti Damit, pula menjelaskan, beliau menyertai Tutong Buzz setiap kali ia diadakan.
Menyentuh mengenai sambutan daripada orang ramai, Dayang Mariah berkata jualannya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Berniaga ini tambahnya, adalah secara sambilan dan bagi menambah pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Ketika saya bekerja, anak saya akan membantu menggantikan saya mengendalikan perniagaan tersebut,” ujarnya lagi.