Tingkatkan penghayatan, amalan ibadah para mualaf

26 Sep 2026 - 5:25am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah 

BERAKAS, Jumaat, 25 September. - Dalam usaha meningkatkan kefahaman para mualaf terhadap mesej utama serta makna tersirat yang terkandung dalam Surah Al-Fatihah, Pusat Dakwah Islamiah melalui Bahagian Bimbingan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) telah menganjurkan Program Tadabbur Al-Quran Bersama Muallaf, pagi tadi.

Program Tadabbur Al-Quran Bersama Muallaf : Surah Al-Fatihah : 7 Ayat, Sejuta Makna tersebut berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah dan disertai oleh para mualaf dari seluruh negara. Sesi ‘tadabbur’ disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Mohammad Nasyith bin Superi.

Program berkenaan antara lain bertujuan untuk membantu para mualaf menghayati nilai-nilai tauhid yang terkandung dalam Surah Al-Fatihah sebagai asas dalam memelihara akidah, di samping mengukuhkan keyakinan terhadap keesaan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain itu, penganjuran program berkenaan turut bertujuan untuk mempelbagaikan dan memperkemas strategi dakwah melalui bimbingan serta kefahaman Al-Quran secara berfasa kepada para mualaf di negara ini.

Usaha tersebut diharap dapat memperkukuh akidah, meningkatkan penghayatan serta amalan ibadah para mualaf, seterusnya memupuk keyakinan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Penganjuran program itu juga memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kefahaman, penghayatan dan kecintaan para mualaf terhadap Al-Quran.

Di samping membantu peserta meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran, program berkenaan turut menitikberatkan pemahaman terhadap kandungan, mesej dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Pada masa yang sama, kepentingan menuntut ilmu secara berguru turut ditekankan bagi memastikan setiap kefahaman yang diperoleh bersumberkan ilmu yang sahih serta berpandukan bimbingan yang berautoriti.