Tingkatkan pengetahuan MIB dalam kalangan pelajar

20 Sep 2026 - 5:07am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

TEMBURONG, Sabtu, 19 September. - Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Pusat Ilmu Teras dan Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) meneruskan lagi Program Eksplorasi Melayu Islam Beraja (MIB) 4.0 berlangsung di Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), Bangar, pagi tadi.

Seramai 149 pelajar Tahun 10 SMSH menyertai program berkenaan yang dilancarkan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar. Dalam Program Eksplorasi ini, terdapat 10 perhentian (checkpoint) yang perlu dilalui oleh pelajar secara berkumpulan.

10 checkpoint ini mempunyai arahan, soalan serta penyelesaian masalah yang perlu dijawab, dilakukan dan diselesaikan oleh setiap kumpulan. Setiap arahan, soalan mahupun penyelesaian masalah merangkumi elemen-elemen MIB di samping mengasah kemahiran pembacaan dan tulisan Jawi para peserta. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan semua checkpoint dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Kumpulan Kampung Batang Duri telah merangkul tempat Pertama dalam Program Eksplorasi tersebut. Tempat kedua, Kumpulan Kampung Belingus dan tempat ketiga, Kumpulan Kampung Sibut. Manakala Kumpulan Kampung Labu dan Kumpulan Kampung Temada masing-masing meraih tempat keempat dan kelima. 

Adapun objektif program ini diadakan antara lain untuk menjana pengetahuan MIB dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran menerusi aktiviti, di samping menjana kemahiran berfikir, membuat keputusan dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar menerusi aktiviti yang diadakan.

Program ini juga berupaya meningkatkan kemahiran tulisan Jawi dengan mengintegrasikan kandungan sekali gus mendaulatkan tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda.