Tingkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi seimbang, berhemah

9 Sep 2026 - 7:26am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September. – Kumpulan Al-Qudwah Sesi 2025/2026, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini menganjurkan Program Digital Break & Reset (Sunnah Edition) di UNISSA bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam.

Program tersebut melibatkan seramai 30 mahasiswa dan mahasiswi serta 20 orang Ahli Jawatankuasa Al-Qudwah. Sepanjang program berlangsung, para peserta menyerahkan telefon pintar masing-masing bagi memberi ruang untuk berehat daripada penggunaan gadget dan menumpukan perhatian kepada aktiviti yang lebih bermakna.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi secara seimbang dan berhemah. Pada masa yang sama, program berkenaan menggalakkan peserta menghayati sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai panduan mengurus masa, menjaga hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala dan membina hubungan yang lebih baik sesama manusia.

Antara pengisian utama ialah sesi tazkirah bertajuk ‘Living the Sunnah in a Digital World’ yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Fakulti Bahasa Arab UNISSA, Dr. Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin.

Sesi tersebut menekankan pendekatan mengimbangi penggunaan teknologi dengan pengamalan sunnah serta kepentingan memelihara masa.

Para peserta turut mengikuti bengkel refleksi berkumpulan dan Seerah Storytelling Challenge. Melalui cabaran ini, peserta membaca, membincangkan dan mempersembahkan kisah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta para sahabat secara kreatif.

Aktiviti tersebut membantu memperluas kefahaman mengenai sirah, di samping mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama dan pembentangan secara bersemuka.

Pengisian program turut merangkumi Solat Sunat Duha, Solat Zuhur Berjemaah, qailulah, penyediaan talbina dan bengkel asas memanah. Seterusnya talbina diagihkan kepada pelajar yang menginap di hostel dan pekerja unsung heroes sekitar UNISSA.

Melalui pendekatan tanpa gadget, peserta berpeluang berinteraksi secara langsung, membina ukhuwah dan menilai semula corak penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

Program ini juga diharap dapat membantu peserta mengurus masa dengan lebih berkesan serta meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani.

Turut hadir dalam program tersebut, Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Dr. Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman, selaku Penasihat Kumpulan al-Qudwah UNISSA.

Program ini mencerminkan usaha Al-Qudwah UNISSA untuk membentuk mahasiswa yang produktif, berdisiplin dan seimbang, serta mampu memanfaatkan kemajuan digital tanpa mengabaikan nilai Islam dan tuntutan pembangunan diri.