Tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu

30 Og 2026 - 7:46am

Oleh : Aimi SaniFoto : Azmah Haji Ahad

BANGAR, Sabtu, 29 Ogos. - Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), dengan kerjasama Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Daerah Temburong telah mengadakan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) Sedunia 2026 bagi Daerah Temburong bertempat di ruang legar Hospital PIHM, Bangar, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan PSI secara eksklusif.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pentadbir Kanan Hospital, Hospital PIHM Temburong, Dayang Siti Mardiyah binti Haji Besar.

Bertemakan 'PSI Demi Permulaan Kehidupan yang Mampan : Memperkukuh Amalan yang Berkesan' (Breastfeeding for a Sustainable Start in Life : Strengthen What Works), majlis tersebut bertujuan untuk memperkasakan para ibu dan pasangan mereka melalui pemberian maklumat serta sokongan berterusan dalam menjayakan PSI secara eksklusif.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Guru Ugama, Hospital PIHM Temburong, Awang Salim bin Haji Tuah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Jururawat Bidan, Hospital PIHM Temburong, Dayang Asma Rashidah binti Haji Md. Alli selaku Pengerusi Bersama Sambutan Minggu PSI bagi Daerah Temburong.

Dalam ucapannya, beliau antara lain menekankan kepentingan rantaian sokongan (warm chain of support) yang kukuh daripada institusi perubatan, keluarga dan masyarakat dalam membantu para ibu menjayakan PSI, khususnya di Daerah Temburong.

Majlis diteruskan dengan perasmian oleh tetamu kehormat, diikuti dengan tayangan video dan ceramah bertajuk 'Kebaikan Susu Ibu, Sokongan yang Diperlukan' yang disampaikan oleh Kaunselor Laktasi, Bloom & Bless, Dayang Siti Nabilah binti Haji Taif.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Mewarna serta penyampaian cenderahati kepada penceramah dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.

Para tetamu kemudiannya menyaksikan pameran pendidikan PSI sebelum menikmati jamuan. Turut hadir, pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital PIHM Temburong serta para peserta sambutan.