Terokai keindahan NBD, eratkan hubungan keluarga

22 Sep 2026 - 5:45am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

JERUDONG, Isnin, 21 September. – Negara Brunei Darussalam (NBD) merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, sejarah dan budaya yang menarik. Terdapat banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi bersama keluarga pada waktu lapang.

Aktiviti seperti bersiar-siar, berkelah dan meneroka tempat-tempat menarik dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada setiap ahli keluarga. Melalui aktiviti seperti berkenaan, kita bukan sahaja dapat menikmati keindahan negara sendiri, malah dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.

Hubungan antara ahli keluarga juga dapat menjadi lebih erat apabila kita melakukan aktiviti bersama-sama. Oleh itu, menerokai tempat-tempat menarik di NBD merupakan salah satu aktiviti keluarga yang bermanfaat dan menyeronokkan.

Taman Mahkota Jubli Emas yang terletak di Bandar Seri Begawan merupakan antara tempat yang sering dikunjungi bersama keluarga. Kawasan berkenaan merupakan tempat riadah yang indah dan sesuai untuk keluarga meluangkan masa bersama-sama.

Suasana di kawasan tepi sungai yang nyaman serta pemandangan yang cantik menjadikan tempat berkenaan sesuai untuk berehat selepas seharian melakukan aktiviti. Selain itu, kawasan berkenaan juga dapat memberikan peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk menikmati suasana luar sambil menghirup udara segar.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Taman Mahkota Jubli Emas ialah berbasikal, berjoging, berjalan kaki pada waktu petang atau senja. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersiar-siar sambil menikmati pemandangan di sepanjang kawasan berkenaan.

Selain itu, anak-anak juga boleh bermain dan meniup buih bersama-sama di kawasan lapang. Aktiviti berkenaan sangat menyeronokkan kerana mereka dapat berlari, mengejar dan melihat buih-buih yang berterbangan di udara. Walaupun aktiviti berkenaan ringkas, tetapi ia dapat menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.

Selain itu, Jerudong Park Playground turut menjadi salah satu tempat menarik yang sering dikunjungi bersama keluarga di negara ini. Tempat berkenaan menyediakan pelbagai permainan dan aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak serta orang dewasa.

Keluarga boleh meluangkan masa bersama dengan mencuba permainan yang menyeronokkan dan menikmati suasana yang meriah. Anak-anak pasti berasa gembira kerana dapat bermain dan mencuba pelbagai tarikan bersama ibu bapa serta adik-beradik. Di samping itu, mengunjungi Jerudong Park Playground memberi peluang untuk keluarga berehat dan melupakan seketika kesibukan harian.

Taman Peranginan Tasek Lama juga menjadi salah satu tempat yang sesuai untuk dikunjungi dan melakukan aktiviti ringan seperti berjoging, berjalan kaki dan bersenam. Ibu bapa boleh mengajak anak-anak melakukan aktiviti fizikal bersama-sama supaya tubuh kekal sihat dan cergas. Selepas melakukan aktiviti, keluarga boleh berehat sambil menikmati suasana alam yang tenang. Aktiviti seperti berkenaan bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat mewujudkan kenangan yang indah bersama keluarga.

Kesimpulannya, meneroka tempat-tempat menarik dalam negeri merupakan salah satu aktiviti yang sangat bermanfaat untuk dilakukan bersama keluarga. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan masa lapang dengan sebaik-baiknya dengan membawa keluarga mengunjungi tempat-tempat menarik di NBD.

Selain mencipta kenangan yang indah, aktiviti sebegini dapat memupuk rasa cinta terhadap negara dan menghargai keindahan alam serta tempat-tempat menarik yang terdapat di negara sendiri. Sesungguhnya, masa yang diluangkan bersama keluarga merupakan kenangan berharga yang tidak ternilai.