Teknologi baharu buka ruang pembangunan bakat, kepakaran anak tempatan

27 Og 2026 - 7:14am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Rabu, 26 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), bertitah menzahirkan rasa gembira melihat teknologi baharu terus membuka ruang kepada pembangunan bakat dan kepakaran anak tempatan dalam era teknologi berkembang pesat.

Titah baginda lagi pada masa ini, teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) dapat dimanfaatkan untuk memperkaya pengalaman dan meningkatkan keberkesanan pengajaran. 

"Namun dalam pendidikan, beta berpendapat, penggunaan teknologi ini hendaklah kekal berteraskan manusia (human-centric technology), bukan untuk menggantikan tenaga kerja secara keseluruhan.

"AI sama sekali tidak boleh menggantikan fungsi akal, walaupun ia mampu untuk memproses data dengan amat pantas kerana AI tidak mempunyai jiwa dan pertimbangan moral yang hakiki," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen UTB Kali Ke-14 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Tambah titah baginda, AI hanya alat untuk membantu manusia memperolehi maklumat, sedang maklumat pula mesti disemak dan dinilai kebenarannya oleh manusia. 

Tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, setelah empat dekad negara membina keupayaan melalui penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), maka keupayaan ini sewajarnyalah dapat membuka lembaran baharu bagi IPT memainkan peranannya lebih besar dalam memperkukuh ekosistem inovasi, dan sekali gus memperluaskan lagi sumbangannya kepada negara. 

Ke arah itu, baginda seterusnya bertitah menyarankan supaya semua IPT mengambil langkah proaktif memperkemas dasar masing-masing. 

"Beta telah difahamkan bahawa UTB sedang giat mempertingkatkan keupayaan makmal-makmalnya ke arah pensijilan dan akreditasi antarabangsa. Usaha ini juga mampu untuk memantapkan lagi kualiti infrastruktur negara serta memperluaskan sumbangan universiti kepada perkembangan industri berasaskan pengetahuan. 

"Kemajuan di sini tidak dapat dicapai secara bersendirian, melainkan ada kerjasama di antara universiti, industri dan agensi berkepentingan. 

"Sememangnya kolaborasi strategik antara universiti dan pihak berkepentingan adalah tunjang kepada usaha UTB dalam menangani isu pengangguran melalui penyediaan graduan yang mahir secara praktikal," titah baginda lagi.

Kebawah DYMM selanjutnya bertitah, menerusi perkongsian teknologi dan kepakaran, akan mampu untuk merapatkan jurang ketidakpadanan (mismatch) antara kelulusan akademik dan keperluan sebenar pasaran kerja masa kini.

Menyentuh mengenai penyelidikan dan pembangunan, baginda bertitah menzahirkan harapan supaya usaha-usaha yang dilaksanakan oleh UTB akan terus memantapkan keupayaan inovasi universiti. 

Inovasi ini titah baginda lagi, tidak boleh bermula dan berakhir di dalam makmal semata-mata, tetapi mesti dipacu oleh minda yang kreatif dan rantaian kolaborasi strategik antarabangsa.  Demi mendukung hasrat suci, UTB perlu memastikan program-program yang ditawarkannya sentiasa responsif terhadap perubahan industri, supaya setiap graduan memiliki kebolehpasaran yang tinggi. 

"Namun beta ingin berpesan, apapun ilmu yang diburu, Islam sama sekali jangan dipinggirkan. Kerana Islam itu adalah suluh segala ilmu dan jalan lurus yang tidak pernah bengkok-bengkok," tegas baginda dalam titah. 

Terdahulu dalam titah, Kebawah DYMM bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita hadir di Majlis Konvokesyen UTB Kali Ke-14 pada hari ini. 

Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang diraikan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin bagi kecemerlangan berterusan di masa hadapan. 

Kebawah DYMM turut mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa memberikan dorongan sehingga para graduan beroleh kejayaan.

Pada tahun ini titah baginda lagi, UTB telah genap 40 tahun penubuhannya. Sepanjang tempoh tersebut, universiti ini telah berkembang daripada sebuah institut teknologi kepada sebuah universiti yang diiktiraf di peringkat global. 

"Alhamdulillah, pencapaian ini telah memperteguh lagi peranan dan sumbangan UTB dalam pembangunan pendidikan tinggi negara, yang menjadikannya semakin dikenali di peringkat serantau dan antarabangsa. 

"Untuk akhirnya, beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, pegawai-pegawai utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan, atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. 

"Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda," titah baginda lagi.